Home English News Mahkamah Rayuan tolak rayuan Exco untuk pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Exco untuk pindah kes ke Mahkamah Tinggi

512
0
SHARE
Ad
Gambar Ehsan: Malay Mail

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perak Paul Yong Choo Kiong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti  2-1 oleh panel tiga hakim dengan Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Seri Kamaludin Md Said memutuskan untuk menolak permohonan itu manakala Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menentang keputusan itu.

Dalam keputusan majoriti itu, Hakim Yaacob berkata mereka berpandangan tidak wujud kekhilafan di pihak Pesuruhjaya Kehakiman yang tidak membenarkan  permohonan Yong untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

#TamilSchoolmychoice

Susulan itu, beliau mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Nov tahun lepas yang menolak permohonan Yong untuk memindahkan kesnya itu mengikut Seksyen 417, Kanun Acara Jenayah.

Yong, 50, yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.

Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, dituduh melakukan kesalahan itu di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai tahun lepas antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Di luar mahkamah, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, memberitahu media yang pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

— BERNAMA