PUTRAJAYA — Berkuat kuasa esok, saringan COVID-19 di bawah program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memberikan keutamaan kepada pekerja asing dalam sektor binaan dan industri kawalan keselamatan yang beroperasi di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata program ini adalah untuk majikan dan pekerja yang berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Saringan hanya akan dibuat berdasarkan janji temu yang diatur oleh syarikat terbabit dengan penyedia perkhidmatan PSP Perkeso yang dilantik. Ujian saringan boleh dijalankan sama ada di tempat kerja atau di premis penyedia perkhidmatan (saringan bergerak),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Saravanan berkata semua janji temu dibuat dengan penyedia perkhidmatan PSP Perkeso bagi sektor lain adalah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
Jelasnya perubahan ini adalah selaras dengan arahan terkini kerajaan yang memberi fokus saringan COVID-19 kepada pekerja asing dalam kedua-dua sektor itu.
“Ia juga adalah selaras dengan panduan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan saringan secara bersasar kepada golongan yang berisiko. Saringan COVID-19 untuk warga kerja yang layak sedang dilaksanakan oleh Perkeso, satu daripada agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Sebarang pertanyaan, boleh hubungi talian 1-300-22-8000 / 03-4264 5555 / 03-8091 5100 atau e-mel ke perkeso@perkeso.gov.my.
— BERNAMA