KUALA LUMPUR : Naib Presiden MIC Dato’ T. Murugiah menggesa kepimpinan pusat parti PAS menyatakan pendiriannya terhadap kenyataan Menteri Besar Negeri Kedah Mohammad Sanusi Md Nor bahawa parti MIC patut diharamkan kerana MIC kononnya menghasut rakyat melanggar undang-undang, dan menggelar pemimpin MIC sebagai celupar dan mencari populariti.
“Kenyataan MB Kedah inilah yang agak celupar dan terlanjur batasannya. Apakah pendirian kepimpinan parti PAS terhadap tindakan Mohammad Sanusi? Adakah Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang merestuinya?” soal Murugiah.
Hubungan parti PAS dan MIC menjadi tegang kebelakangan ini berikutan tindakan kepimpinan MIC Negeri Kedah yang mempersoalkan ketiadaan peruntukan khas buat rumah ibadat bukan Islam di dalam Bajet Negeri 2021. Terbaru, tindakan kerajaan negeri merobohkan sebuah kuil yang dikatakan berusia lebih 50 tahun di Kuala Kedah turut mengundang kritikan MIC terhadap kerajaan negeri Kedah.
“Kami bukannya tidak arif atau tidak menghormati undang-undang. Jika benarpun kuil yang dirobohkan tersebut dibina di atas tapak yang tidak dibenarkan, ianya telah menjadi pusat ibadat selama berpuluh tahun. Alternatif sewajarnya yang rasional dan boleh diterima semua pihak harus telah diusahakan. Jika MIC mempersoalkannya, tidak bermakna kami bertindak melawan undang-undang ataupun menghasut orang ramai. Kami hanya memperjuangkan suara masyarakat yang kami wakili.”
“Gertakan MB Kedah bahawa parti MIC patut diharamkan sungguh menghampakan. Kami tidak gentar, tetapi kecewa dengan sikap melulu Mohammad Sanusi yang mengeruhkan kerjasama MIC-PAS yang terjalin di atas ilham Tan Sri SA Vigneswaran dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Kerjasama inilah yang makin menjana keterbukaan masyarakat India di dalam menerima parti PAS, parti yang mereka anggap fanatik dan hindari sebelum ini,” kata Murugiah.
“Presiden PAS sendiri yang telah memberi jaminan bahawa partinya rasional dan menghormati kepercayaan agama lain, sebagaimana yang dipraktikkan di negeri Kelantan dan Terengganu. Namun, keadaannya songsang di Kedah, mungkin sebab MB baru cuba berpolitik bersandarkan isu-isu sensitif.”
“Kepimpinan PAS tidak harus berdiam diri, dan tampil dengan pendirian mereka terhadap kenyataan dan tindak tanduk MB Kedah. MIC lebih rela kekal berjuang buat masyarakat dari kerjasama politik yang tidak jitu,” tegas Murugiah.