Home English News “Bahasa Tamil dipinggirkan?….” – Ganabatirau Veraman

“Bahasa Tamil dipinggirkan?….” – Ganabatirau Veraman

1544
0
SHARE
Ad

KENYATAAN MEDIA OLEH YB GANABATIRAU VERAMAN, AHLI EXCO NEGERI SELANGOR

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan satu hebahan kepada pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mengenai permohonan untuk biasiswa bagi tahun 2021. Tawaran biasiswa ini dibuka kepada semua bidang kecuali Bahasa Tamil.

Adakah pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Bahasa Tamil tidak layak untuk memohon atau memang sengaja dipinggirkan? Apakah rasional untuk KPM tidak menawarkan biasiswa ini kepada pelajar-pelajar daripada bidang Bahasa Tamil?

Saya agak keliru dan kecewa dengan sikap KPM yang berpilih kasih dalam penawaran biasiswa?

#TamilSchoolmychoice

Ini bukannya soal mengenai pengambilan BARU bagi pengajian dalam bidang Bahasa Tamil tetapi hebahan ini adalah untuk pelajar SEDIA ADA yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Universiti bagi memohon biasiswa. Sekiranya bidang Bahasa Tamil tidak dipertimbangkan, maka ia seolah-olah menutup peluang bagi pelajar-pelajar India yang berkelayakan. Bagi sesetengah pelajar India terutamanya daripada golongan B40, peluang bagi memohon biasiswa ini merupakan peluang keemasan bagi mengatasi beban kewangan keluarga mereka. Adakah wajar KPM menutup peluang ini bagi pelajar-pelajar India? Adakah YB Menteri Kanan Pendidikan bersikap rasis?

Tindakan KPM untuk meminggirkan bidang Bahasa Tamil daripada memohon biasiswa ini tidak boleh diterima dengan apa jua alasan. Ini merupakan satu penghinaan kepada kaum India dengan menafikan hak pelajar-pelajar India daripada bidang Bahasa Tamil untuk memohon biasiswa ini. KPM perlu ingat bahawa wang biasiswa ini adalah wang rakyat Malaysia yang boleh digunakan oleh mana-mana rakyat Malaysia yang berkelayakan seperti mana yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar lain.

Saya mendesak YB Menteri Kanan Pendidikan untuk memberikan jawapan yang munasabah kepada tindakan KPM ini dan seterusnya membetulkan sikap rasis mereka. KPM seharusnya bertindak adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia memandangkan ia merupakan Institusi pendidikan yang melahirkan generasi intelektual bagi menjamin masa depan negara tercinta ini.

Sekiranya, KPM sendiri menunjukkan sikap rasis mereka sebegini, hanya kegelapan yang boleh saya nampak terhadap masa depan negara ini.

Ganabatirau Veraman
Exco Kerajaan Negeri Selangor
merangkap Adun Kota Kemuning