Home English News Waris Pengawal Keselamatan maut terima faedah PERKESO

Waris Pengawal Keselamatan maut terima faedah PERKESO

1016
0
SHARE
Ad

Kenyataan Media bertarikh 03 September 2021, Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Sumber Manusia

WARIS PENGAWAL KESELAMATAN MAUT TERIMA FAEDAH PERKESO

IPOH, PERAK – Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini telah menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada waris pengawal keselamatan yang meninggal dunia setelah sekian lama terlantar sakit akibat diserang oleh seorang lelaki di Ipoh, Perak pada 29 Disember tahun lalu.

Kejadian malang tersebut berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa, Thava Sagayam A/L Santhanasamy, 64 tahun dan suspek iaitu seorang penyewa homestay di kondominium tempat mangsa bekerja. Suspek dilaporkan tidak berpuas hati dan telah bertindak ganas terhadap mangsa setelah anaknya dilarang menggunakan kemudahan kolam renang yang masih ditutup di premis berkenaan, ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

#TamilSchoolmychoice

Akibat pertelingkahan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri sehingga terpaksa menjalani beberapa prosedur pembedahan sebelum akhirnya disahkan meninggal dunia pada 27 Ogos lalu. Mendiang yang dikenali ramai sebagai seorang yang peramah dan baik hati meninggalkan seorang waris iaitu balu, Puan Philomena A/P Edward, 59 tahun.

Susulan kejadian tersebut, PERKESO telah membuat semakan caruman mendiang Thava dan mendapati beliau mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) melalui pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan. Caruman yang dibuat oleh mendiang juga memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan membolehkan warisnya menerima bantuan faedah di bawah skim ini.

Balu kepada mendiang layak untuk menerima tiga faedah PERKESO. Pertama, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang dibayar untuk sepanjang tempoh mendiang menerima cuti sakitnya iaitu dari tarikh mula kemalangan sehingga ke tarikh kematian berjumlah RM12,737.32. Waris mendiang juga layak untuk menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang dibayar secara bulanan untuk seumur hidup sebanyak RM1,143.90 dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan, Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan telah menziarah dan menyerahkan sendiri faedah PERKESO kepada balu mendiang di kediamannya di Taman Buntong Ria, Ipoh. Hadir sama ialah Ketua Eksekutif PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Komunikasi PERKESO, Encik Izad Haji Raya dan Pengarah PERKESO Negeri Perak, Encik Anthony Arul Dass.

FHUS adalah faedah tunai bagi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4 yang dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan doktor. FOT pula merupakan faedah tunai yang dibayar kepada tanggungan Orang Berinsurans sekiranya mereka meninggal dunia akibat bencana pekerjaan. Contoh orang tanggungan termasuklah balu, duda, anak berusia di bawah 21 tahun, ibu, bapa, adik-beradik, datuk ataupun nenek.

KSM dan agensinya, PERKESO menzahirkan rasa simpati dan berharap bantuan faedah yang diterima oleh balu dapat membantu meringankan bebanannya untuk meneruskan kehidupan seharian.