KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI M.SARAVANAN, MENTERI SUMBER MANUSIA BERKENAAN DENGAN PENGAMBILAN DAN PENGGAJIAN PEKERJA WARGA ASING
1. Kemasukan pekerja warga asing untuk semua sektor pekerjaan telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021. Kemasukan ini akan dibuka untuk semua sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik.
2. Sebelum ini, kelulusan telah diberikan untuk kemasukan seramai 32,000 pekerja warga asing bagi sektor perladangan secara pengecualian khas. Semua kemasukan ini perlu mematuhi Prosedur Tetap Operasi (SOP) kemasukan pekerja warga asing yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 pada 14 Disember 2021. SOP ini merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.
3. Sehubungan itu, saya akan membuat satu pengumuman dalam masa terdekat mengenai tarikh permohonan yang boleh dikemukakan oleh majikan secara atas talian bagi proses pengambilan pekerja warga asing untuk setiap sektor pekerjaan yang dibenarkan dari Negara Sumber. Dalam hal ini, saya ingin menasihatkan pihak majikan agar tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
4. Saya juga ingin mengingatkan majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing agar mengemukakan permohonan sendiri dan berdasarkan kepada keperluan sebenar pekerja asing. Majikan yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta juga perlulah memastikan bahawa agensi tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.
DATUK SERI M.SARAVANAN
MENTERI SUMBER MANUSIA
PUTRAJAYA
10 JANUARI 2022