Home Nation Manfaatkan TV digital untuk tingkat pengetahuan dan kelestarian masyarakat

Manfaatkan TV digital untuk tingkat pengetahuan dan kelestarian masyarakat

112
0
SHARE

IPOH: Penduduk di negeri yang menyaksikan peralihan siaran analog kepada siaran TV digital pada tengah malam tadi diminta memanfaatkan teknologi baharu itu untuk meningkatkan pengetahuan dan menyumbang kepada kelestarian masyarakat.

Berkuat kuasa tengah malam Isnin, 14 Okt, siaran analog bagi wilayah utara dan timur meliputi Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Terengganu ditamatkan dan diganti dengan siaran digital. Sabah dan Sarawak akan menjadi negeri terakhir untuk beralih kepada siaran digital sepenuhnya pada 31 Okt.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata pengedaran dekoder percuma TV digital myFreeview akan diteruskan kepada penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) terutama golongan isi rumah B40.

“Saya akan mempergiatkan sebaran berita ini agar rakyat Perak yang menerima dekoder secara percuma menuntut dekoder sama ada di pejabat SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), pejabat penghulu atau pejabat penyelia DUN di kawasan masing-masing selewat-lewatnya sebelum penghujung November,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan peralihan siaran berkenaan di pejabat SKMM Perak di sini, malam tadi.

Hasnul Zulkarnain berkata antara punca penerima tidak menuntut dekoder percuma itu kerana mereka kurang pengetahuan mengenai penggunaan dekoder dan ragu-ragu untuk menerimanya.

“Sudah tentu kita ke arah pembudayaan hidup digital ini mahu memanfaatkannya dalam kehidupan seharian dan sudah tentu saya mengharapkan seluruh rakyat Perak terutama di kawasan luar bandar memanfaatkan program TV myFreeview ini,” katanya.

Menerusi siaran TV Digital myFreeview, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif melalui 15 saluran televisyen dan enam saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, dan Bernama News Channel.

Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Mohd Firdaus Ahmad berkata siaran TV digital itu menawarkan kualiti lebih baik kepada masyarakat selain pilihan pelbagai saluran TV.

“Kita kena ikuti perkembangan teknologi yang kita nak laksanakan demi kelestarian masyrakat, usaha untuk memahami kedatangan teknologi ini. Jadi kalau kita nak rakyat kita ataupun rakyat Kedah amnya meningkatkan ekonomi, meningkatkan pengetahuan, perlulah kita menerima teknologi baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan siaran TV analog bagi Wilayah Utara di stesen pemancar TV di Gunung Jerai di Yan tengah malam tadi.

Peralihan siaran TV analog kepada siaran TV digital myFreeview berkenaan bermula selepas siaran terakhir TV analog pada 12.30 tengah malam tadi dengan satu paparan skrin tertera yang memaklumkan peralihan siaran itu.

— BERNAMA

Comments