Home English News Najib fail permohonan tangguh perbicaraan yang dijadualkan Selasa ini

Najib fail permohonan tangguh perbicaraan yang dijadualkan Selasa ini

1219
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  hari ini memfailkan  permohonan  untuk  menangguhkan  perbicaraan kesnya berkaitan  dana SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan bermula Selasa ini.

Peguam Najib, Harvinderjit Singh memberitahu pemberita di sini permohonan penangguhan itu difailkan di Pejabat  Pendaftaran Mahkamah Rayuan bersama-sama sijil perakuan segera.

Beliau memohon menangguhkan perbicaraan tujuh pertuduhan yang dihadapinya berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah  Tinggi membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil pemindahan.

#TamilSchoolmychoice

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib berhubung dana SRC International dari  Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah  Rayuan  semalam untuk membatalkan keputusan  Mahkamah  Tinggi  tersebut.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama daripada dana yang sama.

– BERNAMA