Home English News Noh Omar diarah keluar Dewan Rakyat

Noh Omar diarah keluar Dewan Rakyat

1272
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Tanjung Karang  dari  Barisan  Nasional (BN) Tan Sri Noh Omar diarah keluar dari Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata arahan yang dikeluarkan di bawah Perkara 43 dan 44 Peraturan Mesyuarat berikutan tingkah laku Noh yang melemparkan tuduhan terhadap institusi Speaker serta mendakwanya tidak layak memegang jawatan itu pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

“Sebagai Speaker tugas saya bukan sahaja  mempengerusikan  dewan ini dengan adil, saksama dan amanah. Tanggungjawab  sebagai Speaker menghendaki saya menjaga, membela imej dan kewibawaan institusi Parlimen.

#TamilSchoolmychoice

“Berdasarkan sikap Tanjung Karang yang tidak senonoh dan sengaja melakukan perbuatan menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, dengan tohmahan  yang dilempar menuduh pengerusi mesyuarat tidak  layak  memegang jawatan adalah perbuatan menghina majlis mesyuarat atau ‘an open insult to the chair’… saya dengan ini memerintah  Tanjung Karang keluar dari majlis mesyuarat selama tiga hari,” katanya.

Beliau membuat keputusan itu sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Nga turut  menyarankan  Anggota  Parlimen  Tanjung  Karang  serta anggota Parlimen yang lain  mengambil  iktibar  serta  tidak mengulangi kelakuan tersebut dan menjaga tertib dalam  majlis mesyuarat.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said kemudian bangun dan memohon supaya arahan itu dibacakan ketika Noh berada di Dewan Rakyat bagi memberi peluang Anggota Parlimen Tanjung Karang itu membela diri.

Ismail mencadangkan sekiranya Noh enggan memohon maaf  atas kenyataan itu, barulah arahan yang dikeluarkan Nga  dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, cadangan Ismail yang turut  disokong  Anggota  Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan itu ditolak Nga yang menegaskan menjadi tanggungjawab semua anggota Parlimen untuk berada di dalam dewan ketika persidangan.

Setelah beberapa kali meminta Nga mempertimbangkan cadangan beliau, Ismail kemudian bangun memohon keluar dari sidang dewan ketika Nga mempengerusikan persidangan yang kemudian diikuti anggota Parlimen pembangkang yang lain.

— BERNAMA