Home English News Pakar forensik sekali lagi tolak andaian Adib ditarik dari van EMRS

Pakar forensik sekali lagi tolak andaian Adib ditarik dari van EMRS

949
0
SHARE
Ad

SHAH ALAM: Seorang pakar perubatan forensik sekali lagi menolak andaian Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dinaikinya ketika bertugas dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Mahamariamman di USJ 25 di sini, November lepas.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi, 40, dari Hospital Kuala Lumpur berkata berdasarkan rakaman video berdurasi 46 saat yang dikemukakan di mahkamah, beliau berpendapat Muhammad Adib masih berada di dalam van EMRS pada saat pertama hingga saat ke-28.

Dr Ahmad Hafizam berkata sekiranya mangsa (Muhammad Adib) ditarik, pelaku perlu mencengkam sebarang anggota badan anggota bomba itu yang boleh dipegang.

#TamilSchoolmychoice

Katanya pemeriksaan klinikal dan bedah siasat mendapati tiada tanda cedera lebam yang berpadanan dengan kesan cengkaman.

“Sekiranya kekasaran dilakukan dari arah belakang, dia boleh masih mempertahankan diri dengan mengambil kira badannya yang tegap dan seorang anggota bomba terlatih,” katanya ketika menjawab soalan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syazlin Mansor  pada  prosiding  inkues  bagi menyiasat kematian Muhammad Adib.

Dr Ahmad Hafizam tetap mempertahankan teori kebarangkalian yang dibuatnya walaupun Syazlin mempersoalkan kedudukan Muhammad Adib yang masih berada di dalam van EMRS ketika pengunduran jentera Fire Rescue Tender (FRT) melanggar van EMRS berkenaan.

“Teori dibuat berdasarkan corak kecederaan pada tubuh si mati, bukan ketika mangsa berada di dalam EMRS. Si mati mendapat kecederaan selepas keluar dari van EMRS itu,” katanya.         Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di IJN.

Prosiding inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai koroner.

— BERNAMA