Home English News Sistem pendidikan Malaysia dicadang tumpu kepada perindustrian

Sistem pendidikan Malaysia dicadang tumpu kepada perindustrian

719
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dewan perniagaan antarabangsa, yang beliau turut libatkan diri dalam sesi perbincangan berhubung tenaga kerja dan bakat hari ini, mencadangkan supaya sistem pendidikan Malaysia memberi tumpuan kepada bidang perindustrian.

Beliau berkata mereka juga ingin melihat sistem pendidikan negara memberi pertimbangan kepada jenis pekerjaan yang akan dilakukan selepas pelajar bergelar siswazah.

“Pendidikan tidak boleh lebih tertumpu kepada kesusasteraan, sebaliknya dalam bidang perindustrian. Memanglah, sistem Jerman adalah sistem terbaik, apabila satu pertiga daripada masa diluangkan di dalam bilik darjah, dan dua pertiga lagi di tempat kerja,” katanya pada sidang berita selepas mempengerusikan sesi rundingan meja bulat bersama 30 wakil daripada 20 dewan perniagaan asing mengenai  “Memperkasa Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat Bagi Masa Depan”, di sini hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Isu lain yang dibangkitkan oleh komuniti dari luar negara semasa sesi meja bulat yang berlangsung lebih sejam itu, adalah berkaitan imigresen di mana pekerja berbakat seharusnya diberi tempoh lebih lama untuk berada di sini, katanya.

“Satu lagi aduan adalah untuk melabur di Malaysia, anda perlu ada sekurang-kurangnya  RM1 juta dan ini membebankan sesetengah industri kecil,” katanya.

Ditanya sama ada dewan perniagaan asing berminat dalam pertukaran bakat, Dr Mahathir berkata: “Ya, mereka sedia untuk menghantar bakat mereka dan kami memberi mereka masa untuk berada di sini. Kami juga ingin menghantar rakyat kami untuk belajar di negara mereka selain daripada bekerja di beberapa kilang perindustrian mereka.”

Dr Mahathir berkata wakil daripada dewan perniagaan asing turut menyambut baik usaha Malaysia ke arah reformasi buruh.

“(Keperluan) hari ini adalah tentang  pengaturcaraan mesin automasi robot. Kemahirannya berbeza, jadi apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah melatih rakyat kita, mempertingkatkan rakyat kita kepada kemahiran lebih tinggi, bukan setakat memasang barangan tetapi juga berupaya mengendali dan menyenggara mesin,” katanya.

Mengenai sesi meja bulat itu, Dr Mahathir berkata ia adalah cara yang baik untuk  berkomunikasi dengan pelabur asing.

Dianjurkan oleh Talent Corp Malaysia Bhd, dialog itu adalah yang pertama daripada beberapa siri perbincangan yang dirancang diadakan antara kerajaan dan komuniti perniagaan asing, bertujuan menjadi platform yang dikhususkan untuk menyumbang idea ke arah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Antara dewan perniagaan asing yang mengambil bahagian adalah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun Malaysia, Dewan Perniagaan Amerika Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian EU-Malaysia.

— BERNAMA