Home English News Taman Botani Perdana dilengkapi elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi

Taman Botani Perdana dilengkapi elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi

767
0
SHARE
Ad
Picture Credit: Sinar Harian

KUALA LUMPUR:  Taman Botani Perdana di sini, kini lengkap dengan elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi dengan perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Lebih istimewa, Dr Mahathir turut menyempurnakan penanaman sepohon pokok Kembang Semangkuk, sebagai simbolik perasmian kedua-dua fasiliti dan tarikan baharu taman berkenaan.

Dr Mahathir kemudian diiringi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, dibawa meninjau sebelum diberi taklimat mengenai transformasi taman berkenaan yang dibuka sejak 1888.

#TamilSchoolmychoice

Kedua-dua fasiliti itu adalah elemen terakhir dalam fasa kedua menaik taraf taman botani berkenaan dan siap sepenuhnya pada April lepas.

Kompleks Pelawat terdiri daripada bangunan herbarium sebagai pusat penyelidikan, pusat interpretasi sebagai pusat maklumat, bilik taklimat dan kedai cenderahati.

Sementara, Taman Etnobotani dibangunkan sebagai sebahagian program konservasi Taman Botani Perdana dan mempamerkan lebih 100 spesis pokok yang mempunyai kegunaan, antaranya sebagai sumber makanan, ubatan dan produk kecantikan.

Nor Hisham ketika ditemui pemberita berkata fasa ketiga dan terakhir menaik taraf taman berkenaan dijangka siap pada 2022, dengan pembinaan taman bunga raya dan orkid.

“Kita harap dengan adanya taman ini akan dapat bekalkan kualiti hidup lebih baik kepada penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata kos keseluruhan menaik taraf taman tersebut termasuk fasa satu yang siap pada 2010, setakat ini adalah kira-kira RM80 juta.

Taman Tasik Perdana dahulunya diilhamkan Residen British A.R Venning pada 1888, dengan nama Sydney Lake tetapi kemudian dinaik taraf oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1975 dan ditukar namanya ke Taman Tasik Perdana.

Nama taman itu sekali lagi ditukar kepada nama yang diguna sehingga kini, Taman Botani Perdana pada 2011.

— BERNAMA