PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah sukar untuk meletakkan tarikh yang tetap untuk berlakunya peralihan kepimpinan negara.
“Kita kena kaji keadaan. Dalam angka, tarikh yang spesifik…jika kerja separuh selesai or atau belum selesai, susahlah,” katanya ketika ditanya jika ada tarikh yang tetap untuk melaksanakan peralihan kuasa supaya rakyat tidak terlalu bimbang mengenai perkara ini.
Pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York minggu lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
“Saya janji akan berundur sebelum PRU akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama,”katanya seperti dilaporkan pada sesi dialog itu.
Mengikut perjanjian Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan kemudiannya menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.
Mengenai desakan untuk menyegerakan peralihan kuasa perdana menteri, Dr Mahathir berkata ia tidak pernah dibincangkan.
Dilaporkan bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali mendesak peralihan kuasa disegerakan dan mendakwa hasrat Dr Mahathir untuk berundur sekurang-kurangnya tiga tahun lagi akan membunuh PH kerana Anwar tidak mempunyai masa mencukupi untuk berkempen dan mengatur sebarang rancangan.
— BERNAMA