Home English News Kejayaan berpotensi cetus polemik perebutan kuasa- Sultan Nazrin

Kejayaan berpotensi cetus polemik perebutan kuasa- Sultan Nazrin

883
0
SHARE
Ad
Picture Credit: The Star

KUALA KANGSAR: Kejayaan berpotensi menyebabkan manusia dipengaruhi nafsu hingga kehilangan fokus, mengundang rasa iri hati, mencetuskan pelbagai perbuatan hasad dengki dan fitnah, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin.

Baginda bertitah kejayaan juga boleh menyebabkan berlakunya pelbagai polemik perebutan kuasa sehingga mengheret kepada berlakunya krisis kepimpinan.

“Membina kejayaan adalah satu cabaran, tetapi mengekalkan kejayaan merupakan cabaran lebih besar dan lebih mencabar, ” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-12 di sini hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Pada istiadat sehari itu, 1,367 graduan dianugerahkan ijazah dan diploma dalam bidang pengajian masing-masing.

Sultan Nazrin, yang juga Canselor USAS, bertitah kejayaan sesebuah institusi dipengaruhi oleh pimpinan yang berwawasan, semangat berpasukan, dedikasi selain komitmen kakitangan serta sokongan pemegang kepentingan dan masyarakat sekitar.

Mengenai USAS, yang berusia 20 tahun, Sultan Nazrin bertitah universiti itu telah mencatatkan prestasi pencapaian yang meyakinkan dalam pelbagai aspek merangkumi perkembangan kurikulum, bilangan pelajar, staf pengurusan dan staf akademik serta pendapatan.

Sehubungan itu, baginda bertitah agar USAS mengolah dan merangka pelan strategik untuk mengharungi perjalanan 20 tahun akan datang dengan mengenal pasti dan memberanikan diri menerokai wilayah baharu agar ia terus berjaya mencipta kejayaan yang lebih gemilang.

“Ketika sambutan jubli emas penubuhannya dirayakan 30 tahun dari sekarang, sama ada USAS berimej sebagai sebuah universiti di dalam negara atau USAS memiliki reputasi sebagai sebuah universiti beridentiti tertentu,” titah Sultan Nazrin.

Seperti kelaziman, Sultan Nazrin mengingatkan graduan agar menghargai jasa ibu bapa, ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan material dan moral di samping mendoakan kejayaan mereka serta tidak melupakan sumbangan para guru dan tenaga pengurusan USAS.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan staf akademik, serta staf pengurusan dan staf sokongan universiti yang telah memenuhi pelbagai peranan dan melaksanakan pelbagai tugas,” titah Sultan Nazrin.

— BERNAMA