Home English News Didikan di rumah paling berkesan- Sultan Nazrin

Didikan di rumah paling berkesan- Sultan Nazrin

959
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah didikan paling berkesan untuk membolehkan baginda lebih memahami dan berusaha sedaya mungkin menghormati perkara-perkara makruf dan menjauhi perkara-perkara mungkar, dihayati melalui asuhan ayahanda dan bondanya di rumah.

Titah baginda, didikan di rumah berkesan menyemaikan nilai-nilai keinsanan yang amat berharga lagi murni, di samping mencontohi teladan baik daripada guru-guru yang memberikan bimbingan kepada baginda.

#TamilSchoolmychoice

Baginda bersyukur berayahanda seorang hakim dan berbonda seorang guru yang amat tegas mengutamakan ilmu, disiplin, amanah, jujur, ikhlas, peraturan serta kebenaran dan kepalsuan, lalu berjaya menyemaikan nilai-nilai tersebut ke dalam hati sanubari lima orang didik (anakanda) baginda berdua.

“Beta menghargai contoh teladan dan asuhan yang amat berkesan yang ditinggalkan oleh para guru, menyampai dan mengembangkan ilmu pengetahuan.

“Nilai-nilai yang disemai oleh ayahanda dan bonda, diperlengkap asuhan guru, telah membina keyakinan dalaman, mengukuhkan diri beta untuk berdiri atas kalam kebenaran, bersuara atas hakikat kenyataan,” titah baginda pada Titah Diraja bersempena sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah dalam berperanan sebagai Amirul Mukminin (pemimpin), untuk menyempurnakan amanah dan memenuhi harapan rakyat, asuhan yang asas dan permulaan semasa dalam usia persekolahan amat besar peranannya.

“Beta amat insaf akan serba-serbi kedaifan dan kurang kearifan beta dalam hal ehwal Islam. Didikan yang diterima  dalam keluarga terlalu asas kandungannya dan pengajian dalam masa yang terbatas daripada guru al-Quran yang datang ke rumah, begitu permulaan isinya.

“Didikan dan pengajian yang begitu terbatas yang diperoleh dalam 14 tahun pertama usia beta sebelum melanjutkan pelajaran keluar negara, sekadar cukup untuk keperluan diri beta.

“Bak kata bidalan, ‘kecilnya duduk mengaji, besarnya tegak sembahyang’, mengupayakan beta memahami Rukun Islam yang lima, mengenali Rukun Iman yang enam, di samping dibimbing mengenai perkara-perkara asas yang ditakrif sebagai makruf dan mungkar,” titahnya.

Mengenai isu lebih besar yang dihadapi umat Islam ketika ini, baginda memilih beberapa contoh untuk dijadikan renungan bersama dan diambil iktibar, antaranya dua insiden penduduk kampung mengutip beras daripada sebuah lori dan mengambil susu daripada sebuah treler dalam dua kejadian kemalangan.

Sultan Nazrin menarik perhatian terhadap insiden di sebuah negara bukan Islam yang menyaksikan pejalan kaki dan pemandu kereta bekerjasama mengutip botol-botol Cola untuk dikembalikan kepada pemandu trak yang mengalami kemalangan dan tiada satu pun botol yang hilang.

“Adakah tahap kemiskinan begitu memudaratkan, menjadi faktor penyebab sehingga penduduk di dua kampung berkaitan, berebut mengambil makanan yang bukan hak mereka daripada tumpahan lori.

“Jika demikian tahap kemiskinan yang mereka alami, sehingga terlupa hukum halal dan haram, ternyata ada institusi termasuk institusi agama yang telah tidak memenuhi tanggungjawab untuk membantu nasib penduduk yang sedemikian darurat, daif dan miskin,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah baginda turut disembah maklum dari semasa ke semasa mengenai tabung masjid dan surau sering kali dipecahkan, yang menurutnya jarang kedengaran berlaku 50 tahun dahulu.

Baginda bertitah anak-anak Melayu Islam 62 tahun dahulu mendapat bimbingan dan asuhan agama di madrasah, surau, pondok dan rumah yang disampaikan para ustaz yang tidak memiliki ijazah atau diploma, tetapi berjaya membina generasi yang teguh iman, kukuh prinsip, menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab secara ikhlas dan jujur.

“Apakah nila yang telah merosakkan susu. Apakah petualang yang telah merosakkan nilai mulia, nilai terhormat dan nilai murni yang dimiliki oleh umat Islam di bumi ini pada satu masa dahulu, ketika pengajian agama lebih merupakan tanggungjawab ibu bapa, berlaku dalam keluarga dan masyarakat, berlangsung dalam surau, madrasah dan masjid.

“Kini setelah kerajaan menyediakan dana yang besar, pengajian agama Islam diajar secara formal di dalam bilik darjah sekolah, lengkap dengan kurikulum, sistem penilaian, peperiksaan dan pemarkahan secara formal, di bawah bimbingan guru-guru yang memiliki diploma dan ijazah, daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, malah hingga ke pusat pengajian tinggi,” titah Sultan Nazrin.

— BERNAMA