Home English News Misi kedua 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di KLIA

Misi kedua 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di KLIA

656
0
SHARE
Ad

SEPANG: Pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak-anak mereka dari Wuhan, China, susulan wabak COVID-19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal hari ini.

Pesawat AirAsia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada jam 6.50 pagi.

Seramai 66 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada jam 1.45 pagi ini.

#TamilSchoolmychoice

Semalam, pesawat khas itu berlepas ke Wuhan di wilayah Hubei dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 5.58 petang.

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia serta dua pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat tersebut ialah 89 orang.

Mereka yang dibawa pulang itu akan melalui proses tapisan kesihatan yang sama seperti misi HADR pertama iaitu menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik tiba di tanah air.

Mereka yang bergejala akan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban, manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, bagi menjalani kuarantin selama 14 hari.

Pada 4 Feb lalu, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, melalui misi pertama HADR.

Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar,  bilangan awal penumpang yang dijangka kembali ke Malaysia adalah 75 orang tetapi sembilan daripada mereka tidak dapat menyertai penerbangam itu atas pelbagai faktor.

“Enam penumpang yang hadir di lapangan terbang (di Wuhan) tidak dapat menaiki pesawat itu kerana isu kesihatan.

“Seorang penumpang menarik diri atas faktor kesihatan tanpa hadir ke lapangan terbang, seorang tidak dapat serta kerana komitmen kerja dan seorang lagi tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA