Home Uncategorized Tulang manusia prasejarah Gua Niah tiba di Kuching

Tulang manusia prasejarah Gua Niah tiba di Kuching

561
0
SHARE
Ad

KUCHING: Sejumlah 122 fragmen tulang manusia prasejarah Gua Niah berusia 40,000 tahun selamat tiba di bangunan MAS Cargo, Kuching pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Ketibaan artifak bersejarah menggunakan pesawat Singapore Airlines dari Florida, Amerika Syarikat itu disambut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan pegawai Jabatan Muzium Sarawak.

Proses penghantaran pulang artifak itu diselia oleh pensyarah Universiti Florida, Profesor Dr John Krigbaum dan dibantu Ketua Unit Arkeologi Jabatan Muzium Sarawak Mohd Sherman Sauffi.

#TamilSchoolmychoice

Untuk rekod, serpihan tulang berkenaan ditemui pada tahun 1950-an oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Kurator Muzium Sarawak pada ketika itu, Tom Harrison.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Karim berkata kesemua 122 fragmen tulang berkenaan telah diekskavasi dari Gua Niah, Miri bermula penghujung 1950-an sehingga awal 1960-an.

“Ia kemudian dihantar ke Amerika Syarikat pada 1966, iaitu ke Universiti Nevada, Las Vegas sebelum berpindah ke Universiti Florida, di Gainesville pada 2017 untuk tujuan penyelidikan.

“Setelah lebih 50 tahun berada di luar negara untuk aktiviti penyelidikan, akhirnya (tulang) nenek moyang kita kembali ke Bumi Kenyalang,” katanya,

Abdul Karim berkata serpihan tulang terbabit akan ditempatkan di Muzium Arkeologi Sarawak yang ketika ini sedang dalam proses naik taraf dan dijangka  dibuka kepada orang awam pada hujung tahun ini.

“Apabila muzium itu dibuka kelak, orang ramai terutamanya rakyat Sarawak bolehlah menyaksikan artifak berkenaan yang saya percaya sungguh dekat di hati kita semua,” katanya.

— BERNAMA