Home English News Flat, rumah panjang di Sentul, Bukit Kiara bakal diganti perumahan baharu- Annuar

Flat, rumah panjang di Sentul, Bukit Kiara bakal diganti perumahan baharu- Annuar

792
0
SHARE
Ad

KOTA BHARU: Kira-kira 1,300 unit flat di Sentul dan rumah panjang di Bukit Kiara akan diroboh dan digantikan dengan perumahan baharu di bawah Program Pembaharuan Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata menerusi projek berkenaan, pemilik rumah terpilih berpeluang menerima unit rumah baharu secara percuma.

#TamilSchoolmychoice

“Kira-kira 1,000 unit rumah flat yang dibina 30 tahun lepas di kawasan Sentul mempunyai keluasan kira-kira 480 kaki persegi akan dirobohkan dengan pemilik akan mendapat unit baharu yang lebih besar secara percuma.

“Di Bukit Kiara pula, kira-kira 300 pemilik masih menghuni di rumah panjang dan mereka akan dapat tinggal di unit baharu di bawah program berkenaan. Sebuah rumah akan berharga kira-kira RM200,000,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penduduk Kok Lanas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek yang bakal dibina dalam tempoh tiga tahun lagi, akan dibangunkan dengan menggunakan dana swasta manakala kerajaan hanya menyediakan tanah sahaja.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya juga merancang untuk membina 5,000 unit rumah di bawah Program Residensi Prihatin bagi golongan berpendapatan isi rumah bawah RM4,000 yang bekerja di Kuala Lumpur memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata antara syarat yang dikenakan bagi mendapatkan rumah berharga RM250,000 seunit itu termasuklah pemohon berusia 35 tahun dan ke bawah.

— BERNAMA