Home English News “Tuduhan palsu Azmin”- Dr. Mahathir

“Tuduhan palsu Azmin”- Dr. Mahathir

681
0
SHARE
Ad

Kenyataan media bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed bertarikh 30 November 2020.

1. Saya telah diberitahu mengenai tuduhan Azmin bahawa saya yang merancang penubuhan Perikatan Nasional (PN).

2. Saya telah berkali-kali terangkan bahawa ini tidak benar sama sekali kerana PN itu dianggotai oleh kleptokrat dan ditunjangi oleh UMNO secara en-bloc.

3. Jika saya merancangnya mengapa perlu saya tolak apabila ia menjadi kenyataan dan jika saya terima sudah pasti saya kekal sebagai Perdana Menteri (PM) seperti yang diakui sendiri oleh Azmin.

4. Keduanya, jika ada sesiapa yang beria-ia merancang menubuh Kerajaan PN dan keluar Pakatan Harapan (PH) sudah pasti ianya Azmin dan juga Muhyiddin, yang mendapat hasil paling lumayan.

#TamilSchoolmychoice

5. Jangan lupa ketika semua ini berlaku, kedudukan Azmin di dalam Keadilan dan juga PH amat terancam. Anwar dan penyokong-penyokongnya merancang dan berusaha untuk menjatuhkan Azmin dan ini bermula sejak pemilihan di dalam Keadilan.

6. Anwar secara terbuka menyokong Rafizi yang menentang Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden dan apabila usaha tersebut gagal, muncul pula video yang mengaitkan Azmin dengan perlakuan seks sumbang.

7. Ini menambah tekanan kepada Azmin dan apabila beberapa penyokong Anwar dikatakan terlibat di dalam penyebaran video tersebut, kedudukan Azmin di dalam Keadilan serta hubungannya dengan Anwar menjadi “untenable” atau tidak boleh diperbaiki.

8. Kerana itu, walaupun saya menentang tindakan Azmin merancang Langkah Sheraton tetapi saya faham kenapa dia berbuat demikian.

9. Ini kerana baginya, yang paling penting ialah menyekat Anwar dari menjadi Perdana Menteri. Tetapi jika PH terus memerintah, sudah pasti Anwar akan berpeluang menjadi PM.

10. Di masa yang sama, Azmin juga bercita-cita untuk menjadi PM. Kerana itu dia bergabung dengan Muhyiddin dan amat jelas hari ini, Azmin diletak oleh Muhyiddin sebagai de facto Timbalan Perdana Menteri.

11. Selain itu, saya pasti Azmin telah membuat perancangan membentuk Kerajaan PN dan Langkah Sheraton agak lama kerana saya percaya tidak mudah untuk dia meyakinkan 9 ahli Parlimen Keadilan untuk ikut serta dalam Langkah Sheraton itu.

12. Dan Azmin tahu bahawa jika sekadar Bersatu menarik diri dari PH, ia masih tidak cukup untuk menjatuhkan Kerajaan PH. Tetapi apabila Azmin ikut serta maka secara langsung Kerajaan PH hilang majoriti dan jatuh.

13. Di pihak Muhyiddin dan Hamzah Zainuddin pula, mereka cuba yakinkan saya bahawa Anwar dan DAP sedang merancang untuk menjatuhkan saya dan kerana itu perlu saya bergabung dengan parti-parti Melayu yang lain untuk membalas perancangan itu.

14. Ketika ini sedang dirancang, UMNO atau lebih tepat lagi Najib, menghasut kumpulan-kumpulan Melayu supaya membenci PH yang dikatakan dikuasai oleh DAP.

15. Selain isu Rome Statute dan ICERD yang dikaitkan dengan Raja-Raja Melayu, mereka juga menabur kebencian dan pendustaan mengenai isu kematian Adib, LTTE, Tabung Haji dan apa-apa saja berkaitan Melayu dan Islam yang dapat dipersalahkan kepada PH dan DAP selain memainkan isu perkauman.

16. Keadaan menjadi agak tegang dan orang Melayu yang terpengaruh dengan kleptokrat-kleptokrat tersebut telah mula menunjukkan sikap agresif dan hilang pertimbangan.

17. Malangnya orang Melayu yang percaya dengan dakyah kleptokrat-kleptokrat tidak sedar bahawa isu mengenai Melayu dan Islam ini semata-mata usaha untuk membebas diri penjenayah-penjenayah dari menghadapi tindakan undang-undang.

18. Buktinya, hari ini, segala isu yang ditimbul mengenai Melayu/Islam tidak lagi menjadi isu dan didiamkan begitu sahaja.

19. Kerana itu saya bersetuju hadir ke Kongres Maruah Melayu yang hari ini diguna sebagai tuduhan terhadap saya yang menyokong ke arah pembentukan Kerajaan PN.

20. Jika ada yang masih ingat, kehadiran saya ke Kongres itu saya gunakan untuk ingatkan orang Melayu mengenai perlunya bekerja keras dan mengubah sikap jika mahu kekal bersaing pada masa kini.

21. Bagi saya lebih baik saya yang hadir dan menerajui Kongres itu dari benarkan kleptokrat-kleptokrat gunakan sebagai pentas untuk memanjangkan agenda perkauman dan anti-bukan Melayu dan Islam.

22. Inilah peristiwa dan perkara-perkara yang berkait dengan terbentuknya Kerajaan PN dan Langkah Sheraton.

23. Pendirian saya ialah saya menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat dan secara langsung, menolak UMNO secara en-bloc dan kekal bersama PH pada ketika itu.