CAMERON HIGHLANDS — Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta pengundi di Cameron Highlands menjadi mata dan telinga dengan melaporkan setiap cubaan rasuah politik wang sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu nanti.
Beliau berkata Malaysia Baharu tidak akan dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari atau dua tahun, ia akan mengambil masa yang lama mungkin satu atau dua dekad.
“Jadi Cameron Highlands adalah satu daripada pembangunan yang penting dalam membangunkan Malaysia Baharu. Kita akan ada satu negara yang bersih tanpa sistem politik yang korup,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Program Bertemu Masyarakat sempena Program Jelajah Jelai bersama Lim Kit Siang di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kula Segaran, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji serta bekas calon DAP Parlimen Cameron Highlands, M.Manogaran.
Jelas Kit Siang, yang menjadi keutamaan pada PRK kali ini adalah untuk memerangi rasuah, politik wang dan politik pilihan raya kerana ia adalah PRK untuk menentang kleptokrasi serta menentang segala bentuk rasuah.
“Tahun 2018 sudah mahu menutup tirainya dan kita bakal menghadapi tahun baharu dan saya rasa 2019 akan menjadi tahun yang paling penting kepada Malaysia. Pada 2019 kita boleh melihat satu pembaharuan dalam struktur dan institusi yang akan membawa Malaysia ke arah pembentukan Malaysia Baharu,” katanya.
— BERNAMA