KUALA LUMPUR – Laungan ‘Daulat Tuanku’ kedengaran selepas selesai mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang selamalebih tiga jam yang dipengerusikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini,.
Mesyuarat tersebut di sebuah hotel di sini bermula jam 4 petang dan berakhir kira-kira jam 7.30 malam.
Difahamkan mesyuarat tersebut bagi mendapatkan perkenan memasyhurkan Tengku Abdullah (gambar) sebagai Sultan Pahang.
Media sebelum ini melaporkan Sultan Ahmad Shah bakal menyerahkan takhta kepada anakandanya Tengku Abdullah yang telah menjadi Pemangku Raja Pahang sejak 28 Dis 2016.
Mesyuarat itu, yang dihadiri kerabat diraja Pahang, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan exco kerajaan negeri serta Orang Besar Berempat, diadakan selepas Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan Setiausaha Kerjaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Sallehuddin menggantikan Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Media yang berkumpul di luar bilik mesyuarat turut mendengar laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali, beberapa minit sebelum pintu bilik mesyuarat dibuka.
Tengku Abdullah kemudian berkenan bergambar dengan keluarga baginda dan anggota Jumaah Pangkuan Diraja.
Media turut mengucapkan ‘tahniah’ kepada Tengku Abdullah selepas sesi bergambar tersebut sebelum baginda menjawab “sama-sama”.
Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada media yang menunggu dan menyatakan tiada komen untuk diberikan apabila ada media cuba mengajukan soalan kepada baginda.
Sementara itu, Salehuddin, ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu, berkata, pengumuman mengenai pertemuan hari ini akan dimaklumkan pada jam 3 petang di Istana Abu Bakar, Pekan, esok.
— BERNAMA