Home Nation Johor: Jawatankuasa pembangunan SJKT akan ditubuh bantu selesaikan isu

Johor: Jawatankuasa pembangunan SJKT akan ditubuh bantu selesaikan isu

1586
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Sebuah jawatankuasa pembangunan sekolah Tamil akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi membantu pihak sekolah menyelesaikan beberapa isu berkaitan.

Isu ini termasuk mempercepatkan urusan pembinaan sekolah-sekolah baharu serta untuk mendapatkan sijil perakuan siap (CCC) daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor Dr S. Ramakrishnan  berkata penubuhan itu berikutan terdapat kelemahan dalam pengurusan isu itu hingga menimbulkan pelbagai masalah lain antaranya kelewatan dalam menduduki bangunan sekolah baharu.

#TamilSchoolmychoice

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan CCC antara pihak kontraktor dan pihak pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Tebrau di sini, hari ini.

Menurut Ramakrishnan, jawatankuasa ketika ini dicadangkan untuk disertai pihak kontraktor, lembaga pengurusan sekolah, pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan sebagainya.

Mengenai SJKT Ladang Tebrau itu, beliau berkata ia merupakan antara lima buah sekolah Tamil yang bermasalah di Johor kerana tidak berupaya menduduki bangunan baru gara-gara ketiadaan CCC sedangkan bangunan itu telah disiapkan dua tahun lalu.

Selain itu, ia berdepan dengan isu pemilikan tanah kerana tanah untuk pembinaan bangunan baharu itu adalah milik Johor Land Berhad.

Bagi membolehkan hak pemilikan dipindahkan ke atas nama lembaga pengurusan sekolah, pihak sekolah perlu menjelaskan satu nilai premium tanah kepada kerajaan negeri memandangkan Johor Land adalah anak syarikat miliknya.

“Untuk perkara ini, saya telah membuat permohonan kepada Menteri Besar Johor untuk membantu menjelaskan bayaran dan ia dalam pertimbangan tetapi pada masa sama, CCC telah pun diperoleh dan mereka boleh berpindah ke bangunan baru pada bila-bila masa,” katanya.

 Empat lagi sekolah yang bermasalah ialah SJKT Tun Dr Ismail, Simpang Renggam; SJKT Ladang Nyior, Kluang; SJKT Ladang Kulai Oil Palm; dan SJKT Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. – BERNAMA