TANAH RATA — Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) yang berdepan pembatalan pendaftaran parti itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.
Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas yang mengesahkan telah menerima emel Notis Merah RoS itu hari ini berkata pihaknya mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan tersebut mengikut Akta Ros 1966.
Katanya, sebarang keputusan akan diputuskan oleh Muhyiddin sama ada menerima keputusan ROS, membuat pindaan atau tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Lepas kita terima keputusan daripada menteri, barulah kita ambil tindakan lain. Kalau keputusan menteri tak setuju dengan RoS, maka selesailah perkara itu.
“Kalau dia buat pindaan kepada keputusan, kita perlu lihat apa pindaan-pindaan tersebut. Kalau dia setuju dengan keputusan pendaftar maka kita ada 90 hari untuk membawa isu itu kepada mahkamah,” katanya pada sidang media di pusat khidmat MyPPP Cameron Highlands di sini petang ini.
ROS membatalkan pendaftaran MyPPP berkuat kuasa hari ini.
Pembatalan itu dibuat Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim menerusi notis kepada parti berkenaan yang salinannya turut diserahkan kepada Kayveas, dan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz.
Menurut notis itu, keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.
Kayveas turut berharap Muhyiddin akan mempertimbangkan rayuan tersebut dengan adil dan saksama agar parti itu dapat diselamatkan.
Dalam pada itu, Kayveas turut menyangkal desas desus mengatakan MyPPP menyertai Pakatan Harapan (PH) setelah keluar dari Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak akan menyertai mana-mana Pakatan Harapan (PH). Tidak perlu saya menyertai PH. Saya meninggalkan BN kerana kesetiaan kami tidak dibalas, kami setia tetapi mereka tidak setia kepada kami,” katanya.
Semasa ditanya sama ada akan ditubuhkan semula parti itu sekiranya rayuan tersebut ditolak, Kayveas berkata segala keputusan akan ditentukan dalam mesyuarat khas antara anggota untuk keputusan seterusnya.
“Ia suatu keputusan besar untuk menubuhkan semula parti itu, adakah perlu dan siapa minat untuk membuatnya. Kami akan menangani masalah itu bila berdepan dengannya,” katanya.
MyPPP sebelum ini dilanda konflik dalaman selepas parti itu memecat Kayveas daripada jawatan presiden dan surat pemecatannya turut dikeluarkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bertarikh 24 April tahun lepas.
Namun, pemecatan itu dianggap tidak sah berikutan surat rasmi dikeluarkan RoS memperakui Kayveas masih Presiden MyPPP yang sah.
Kayveas sebelum ini mengumumkan MyPPP keluar daripada BN berkuat kuasa serta-merta untuk bergerak sendirian sebagai parti yang menyokong kerajaan sedia ada iaitu Pakatan Harapan.
— BERNAMA