Home English News Pulau Pinang: Sejuta pengunjung dijangka hadiri sambutan Thaipusam

Pulau Pinang: Sejuta pengunjung dijangka hadiri sambutan Thaipusam

1534
0
SHARE
Ad

George Town: Persiapan untuk menyambut Thaipusam Isnin ini diperhebat bagi menampung keperluan kira-kira sejuta penganut dan pelancong yang dijangka hadir di Kuil Arulmigu Balathandayuthanpani di Jalan Kebun Bunga di sini.

Pengerusi kuil Datuk R. Subramaniam berkata persiapan dilakukan sejak dua bulan lepas dan minggu ini beberapa jalan akan ditutup secara berperingkat bersempena sambutan itu.

“Bersempena sambutan ke-233 tahun perayaan, kami bercadang memperkenalkan kuil baharu Sri Ayappa yang terletak di puncak bukit bersebelahan Kuil Arulmigu Balanthandayuthapani,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Katanya Kuil Sri Ayappa bernilai RM1 juta itu baru sahaja siap dan akan dibuka kepada penganut pada sambutan Thaipusam minggu depan.

Pada masa sama, Subramaniam berkata jawatankuasa kuil juga memutuskan untuk menggunakan pedati emas baharu yang disumbangkan oleh Kuil Meenatchi Sundareswarar bagi perarakan tahun ini.

 “Kami menghadapi kesukaran untuk membawa turun pedati emas yang lama dari puncak bukit, jadi kami putuskan untuk guna pedati baharu berketinggian 6.7 meter untuk membawa vel (lembing Dewa Muruga) tahun ini,” katanya.

Katanya lebih 160 Gerri makanan dan minuman disediakan berbanding 150 tahun lepas.

“Mengenai kawalan keselamatan, kami difahamkan seramai 1,379 anggota polis akan ditugaskan di sekitar kawasan sambutan di sepanjang Jalan Kebun Bunga,” katanya.

Beliau turut menggesa penganut yang bercadang ke kuil itu tahun ini agar meletakkan kenderaan masing-masing di kawasan bandar dan menaiki bas ke kuil.

“Saya difahamkan RapidPenang menyediakan enam buah bas untuk membawa penganut dari jeti ke Jalan Burma, berhampiran persimpangan Jalan Gottlieb,” katanya.

Pedati emas membawa lembing Dewa Muruga yang diperkenalkan oleh Lembaga Wakaf Pulau Pinang pada 2017 akan memulakan perjalanan ke kuil di puncak bukit itu dari Kuil Sri Maha Mariamman di Lebuh Queen pada Ahad.

– BERNAMA