PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang sejak 2017.
Dalam kenyataannya hari ini, SPRM berkata kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017 manakala lima lagi kertas siasatan dibuka pada Januari 2018.
“Sebanyak lima kertas siasatan telah selesai dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.
“Tiga kertas siasatan telah dikembalikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut manakala dua lagi masih dalam kajian timbalan pendakwa raya.
“Selebihnya, dalam siasatan SPRM,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sebagai respons terhadap dakwaan seorang blogger berhubung wujud unsur rasuah berkaitan projek tersebut baru-baru ini.
Raja Petra Kamaruddin dalam siri artikel yang disiarkan oleh sebuah portal mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan empat Exco kerajaan negeri Pulau Pinang menerima rasuah berkaitan projek terowong dasar laut itu.
Raja Petra mendakwa pendedahan itu diperolehi daripada kertas siasatan SPRM berhubung kes pembinaan terowong bernilai RM6.3 bilion berkenaan.
Susulan tulisan Raja Petra itu, SPRM dilaporkan membuat laporan polis mengenai kebocoran kertas siasatan tersebut.
-BERNAMA