Home English News 6 lagi penguatkuasa JPJ termasuk seorang wanita didakwa

6 lagi penguatkuasa JPJ termasuk seorang wanita didakwa

367
0
SHARE

BUTTERWORTH: Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 40 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,050 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua mereka turut berdepan 40 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Enam penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 itu terdiri daripada lima Pembantu Penguat Kuasa JPJ iaitu Muhammad Rozaidi Azmi, 36; Khairol Azri Abd Rahman, 32; Mohd Ependi Hassan, 33; Mohamad Noor Ibrahim, 44, dan V. Chandrasegeran, 49; serta seorang Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Saidatul Hanim Sabudin, 33.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Rozaidi berdepan 10 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM7,100; Khairol Azri didakwa atas lapan pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM4,350 dan Mohd Ependi dituduh atas enam pertuduhan utama dan pilihan rasuah bernilai RM850.

Sementara itu, Mohamad Noor didakwa atas enam pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai rasuah sebanyak RM4,200; Chandrasegeran berdepan satu pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM1,200 manakala Saidatul Hanim dituduh atas sembilan pertuduhan melibatkan RM2,350.

Kesemua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dihadapi mereka ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakari.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa bank di Bukit Mertajam antara Mac 2015 dan Julai 2018.

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM8,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 12 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri manakala peguam Datuk Naran Singh mewakili lima penguat kuasa JPJ itu kecuali Chandrasegeran yang tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh itu adalah sebahagian daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang akan didakwa secara berperingkat bermula semalam yang diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya Selasa lepas.

Semalam, lima penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

— BERNAMA

Comments