Home English News PH tidak terganggu kajian populariti Merdeka Centre

PH tidak terganggu kajian populariti Merdeka Centre

938
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) tidak terganggu dengan kajian populariti yang dibuat oleh sebuah badan kaji selidik  sebaliknya akan terus bekerja keras dalam memastikan kemenangan pakatan itu  pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai itu.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, yang baru sahaja dilantik sebagai Pengarah Jentera PH bagi pilihan raya itu, berkata hubungan baik antara beliau bersama pengerusi parti-parti komponen serta masyarakat turut akan menghidupkan peluang pihaknya untuk menang di kawasan terbabit.

“Saya rasa peluang PH ada (untuk menang) kerana hubungan baik antara saya bersama pengerusi-pengerusi negeri (pengerusi parti komponen) dan masyarakat.

#TamilSchoolmychoice

“Malah kita juga telah mencapai 10 janji manifesto (janji digariskan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas).

“Jadi, insyallah kita akan cuba semampu dan sebaiknya untuk memastikan kemenangan di Tanjung Piai,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sportcity Mount Austin, yang merupakan salah satu venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kajian Merdeka Centre yang mendakwa populariti PH telah menurun berbanding ​​​​​ketika merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Dr Sahruddin berkata ​​​​​​ pihaknya sudah mengerakkan jentera untuk turun padang di kawasan Tanjung Piai dengan menumpukan kepada semua 27 pusat daerah mengundi (PDM).

Berhubung isu terdapat pihak mempersoalkan tentang pelantikannya sebagai pengarah jentera PH bagi pilihan raya itu, Dr Sahruddin berkata beliau telah pun diberikan amanah untuk melaksanakan tugasnya, justeru itu adalah wajar untuk menumpukan tanggungjawabnya sahaja.

“Saya rasa saya dilantik kerana hubungan baik saya dengan semua pengerusi-pengerusi negeri (pengerusi parti komponen). Jadi saya rasa tidak ada isu.  Amanah telah diberi dan sekarang waktunya untuk bekerja,” katanya.

— BERNAMA