Home English News Najib minta Isa Samad kaji semula ambil alih MPHS – Saksi

Najib minta Isa Samad kaji semula ambil alih MPHS – Saksi

939
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. mengkaji semula cadangan pengambilalihan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporations Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, berkata semasa  mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FICSB ke-10 pada 29 April 2014, Mohd Isa memaklumkan bahawa Najib  telah meminta FICSB mengkaji semula pengambilalihan MPHS.

“ALP FICSB mengambil maklum apa yang dimaklumkan oleh Tan Sri Isa dan tiada sebarang pertanyaan ataupun bantahan daripada kalangan ALP FICSB pada ketika itu,” katanya semasa membaca penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

#TamilSchoolmychoice

Kepada soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz mengenai arahan Najib, Mohd Zaid berkata ia adalah satu arahan untuk dikaji semula.

Afzainizam: ALP FICSB perlu ikut arahan atau tidak?

Mohd Zaid: Kertas yang dibentangkan adalah mengambil kira keputusan ALP FICSB sama ada ia menguntungkan atau tidak, tanpa mengira pandangan luar.

Dalam hal ini, apabila pengerusi memaklumkan PM (Najib) suruh kaji semula,  bagi pandangan ALP, ia adalah keputusan yang perlu dibuat lagi oleh FICSB memandangkan ia telah diputuskan sebelum ini.

Memandangkan perkara ini telah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat sebelum ini untuk tidak mengambil alih MPSH. Bagi pandangan ALP FICSB arahan untuk kaji semula ini adalah merupakan arahan untuk mengambil alih.

Menceritakan mengenai arahan Najib itu,  Mohd Zaid berkata beliau mendapat arahan melalui panggilan telefon daripada Mohd Isa untuk mengkaji semula cadangan pengambilalihan tersebut selepas dua minggu surat daripada pihak FICSB dihantar kepada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) pada 28 Feb 2014.

“Keesokan harinya, saya telah berjumpa dengan Tan Sri Isa untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dengan perbualan telefon saya dengan beliau.

“Tan Sri Isa memaklumkan kepada saya untuk meneruskan pengambilalihan MPHS bagi membantu aktiviti politik di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat ALP FICSB ke-8 pada 26 Feb 2014, telah bersetuju untuk tidak meneruskan pengambailalihan MPHS kerana ia tidak berdaya maju dan tidak menguntungkan.

Mohd Zaid berkata pada 18 April 2014, beliau menerima satu surat bertarikh 28 Mac 2014 daripada GAPSB berkaitan tawaran semula penjualan MPHS.

“Surat ini dialamatkan kepada Pengerusi FICSB iaitu Tan Sri Isa. Saya berjumpa dengan Tan Sri Isa untuk memaklumkan tawaran yang dikemukakan oleh GAPSB. Tan Sri mengarahkan agar perkara ini dibentangkan dalam mesyuarat lembaga yang akan datang,” katanya.

Bagaimanapun  pada 29 April 2014, Mohd Isa memaklumkan kepada semua ALP FICSB bahawa Najib telah meminta FICSB mengkaji semula pengambilalihan MPHS.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

— BERNAMA