BUSAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berhasrat membangunkan Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan menggunakan teknologi moden untuk kelebihannya.
Bercakap semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 di sini, hari ini, beliau berkata antara industri yang mempunyai harapan cerah di Malaysia adalah teknologi maklumat (IT) dan teknologi baharu.
“Kita mungkin ketinggalan dengan banyak negara lain tetapi kita berhasrat untuk mengejarnya.
“Kita perlu mendidik daripada masih muda lagi di mana mereka lebih biasa dengan nilai-nilai baharu, strategi baharu untuk melakukan perkara dan jenis perniagaan baharu,” katanya pada satu sesi dialog yang dipengantarakan oleh Yoon Sung Woon daripada Bain and Company.
Rakan tempatan firma pengurusan global itu juga menanyakan kepada Dr Mahathir mengenai perubahan dasar yang dibawa kerajaan baharu serta rancangan transformasi negara.
Perdana menteri berkata Malaysia sentiasa mengalu-alukan negara asing dan pelabur, dan ini masih relevan meskipun perubahan dalam kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan kini tegas dalam memerangi rasuah dan tidak menerima sebarang percanggahan dalam pengurusan kewangan.
“Kami masih mengalu-alukan kedatangan pelabur asing,” katanya sambil menambah cara terpantas untuk maju adalah dengan mempelawa pelaburan asing dan memperoleh teknologi.
Sesi Dialog CEO itu, yang dikelolakan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Korea diadakan bersempena dengan sidang kemuncak dua hari tersebut yang bermula hari ini dengan majlis makan malam para pemimpin.
Kemudiannya, perdana menteri melawat Pavilion Malaysia di Invest ASEAN Exhibition yang diadakan bersempena dengan sidang kemuncak itu.
Pempamer Malaysia yang menyertai acara itu adalah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Invest Selangor, Perbadanan Pembangunan Halal, Usaha Strategik Sdn Bhd (USSB), We Build Easy Sdn Bhd dan Tourism Malaysia Seoul.
Ia dijangka dikunjungi 10,000 pelawat.
Dr Mahathir diberikan taklimat ringkas oleh USSB, yang menghasilkan pelet biojisim daripada tandan buah sawit kosong.
Pengarah Eksekutifnya Za’im Hadi Meskam berkata perdana menteri berminat melihat cara bagaimana syarikat tempatan itu membangunkan produk tersebut.
USSB pada awalnya bekerjasama dengan sebuah syarikat Jerman untuk mendapatkan teknologi bagi menghasilkan pelet tenaga daripada biosisa tetapi kemudiannya beralih kepada rakan teknologi dari China.
“Kira-kira 60 peratus daripada teknologi dibangunkan tempatan dan produk kami kini digunakan oleh sebuah syarikat dandang perindustrian di Johor,” katanya.
— BERNAMA