Home English News Op Lestari 2 dihenti 3 hari- Wan Rosdy

Op Lestari 2 dihenti 3 hari- Wan Rosdy

1223
0
SHARE
Ad

KUANTAN: Tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat di Cameron Highlands dihentikan sementara selama tiga hari bermula hari ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata  keputusan memberhentikan Op Lestari 2 itu selama tiga hari bagi memberi ruang kepada peneroka terlibat mengeluarkan peralatan pertanian milik mereka daripada kawasan operasi.

“Kita bersetuju bahawa sehingga Ahad ini tiada tindakan penguatkuasaan kerana ada menerima permohonan peneroka supaya diberi peluang untuk membuka dan menanggalkan alatan mereka di tanah yang diteroka secara haram tersebut.

#TamilSchoolmychoice

Bagaimanapun, semasa penguatkuasaan disambung pada Isnin ini, mereka tidak dibenarkan berada dalam kawasan operasi. Tindakan ini ialah tanda tolak ansur kerajaan negeri walaupun telah memberikan notis secukupnya kepada mereka sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di  Majlis Penyampaian Cek Sumbangan kepada 20 penerima yang berjumlah RM120,000 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau juga berkata Op Lestari 2 yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Kita juga bertolak ansur dengan mereka yang terlibat kerana mengikut undang-undang kita boleh mengenakan tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Op Lestari 2 yang bermula 16 Dis lalu merupakan kesinambungan kepada Op Lestari yang bermatlamat memulihkan sumber air mentah terutamanya Sungai Ichat yang tercemar teruk akibat penerokaan tanah secara haram bagi tujuan pertanian.

Keputusan mengadakan operasi itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan  Wan Rosdy pada 9 Dis lepas.

Tindakan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu tindakan segera diambil terhadap pencerobohan itu selepas Seri Paduka mencemar duli meninjau lokasi pencemaran di Sungai Ichat pada 7 Sept lepas.

— BERNAMA