Home English News PRK Kimanis: Pengundi dinasihat pergi undi awal

PRK Kimanis: Pengundi dinasihat pergi undi awal

934
0
SHARE
Ad

KIMANIS: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Sabtu ini, dinasihat supaya merancang waktu pergi mengundi pada awal pagi dan tidak memilih untuk mengundi pada saat akhir.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata SPR menyeru kepada semua pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar.

“Pengundi dinasihatkan agar merancang masa dan keluar awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari 7.30 pagi hingga 5.00 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Selain itu, pengundi juga dinasihat supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Beliau juga menyarankan kepada pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana berkemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian untuk membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui saluran seperti portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; menerusi aplikasi MySPR Semak; menghubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau SMS ke 15888 dengan menaip SPRSEMAKNO. KAD PENGENALAN.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat berkenaan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Azhar berkata, bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi.

Beliau berkata, 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu ini.

Seramai sembilan orang sudah mengundi awal pada 14 Jan lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang Pengundi Tidak Hadir (PTH).

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

— BERNAMA