Home English News PRK DUN Slim: SPR laksana garis panduan pencegahan Covid-19 dengan ketat

PRK DUN Slim: SPR laksana garis panduan pencegahan Covid-19 dengan ketat

926
0
SHARE
Ad

TANJUNG MALIM- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengguna pakai Garis Panduan Pencegahan COVID-19, sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan dilaksanakan dengan ketat.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, garis panduan itu akan digunakan di semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata, perkara utama yang diketengahkan adalah pematuhan kepada penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan proses saringan suhu badan.

#TamilSchoolmychoice

Pada hari penamaan calon esok, semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama penyokong masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan.

“Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong calon, sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, sepanjang tempoh berkempen, setiap calon yang bertanding dibenarkan membuka Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Parti) dengan pematuhan kepada penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan dan penggunaan pensanitasi tangan.

Bagi aktiviti ceramah, jumlah kehadiran peserta tidak boleh melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk kepada keluasan ruang, selain perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara aktiviti ziarah rumah pengundi pula, calon atau wakil tidak dibenarkan bersentuhan dan bersalaman dengan penghuni rumah, serta calon digalakkan memaksimum kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial.

“SPR melalui dua Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR), akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen, termasuk pematuhan terhadap garis panduan khas ini,” jelasnya.

Pada hari mengundi, Ikmalrudin berkata semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan, serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi kelak. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi, iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi,” katanya.

Katanya pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan, akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

Bagi individu yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan, mereka perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

“Bagi kehadiran di pusat penjumlahan rasmi undi, calon yang bertanding berserta penyokong calon yang menang, akan dibenarkan hadir dalam jumlah yang minima,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25 Ogos dan mengundi pada 29 Ogos.

— BERNAMA