Home English News Kedutaan Malaysia terus pantau baki rakyat Malaysia di Wuhan- Duta

Kedutaan Malaysia terus pantau baki rakyat Malaysia di Wuhan- Duta

795
0
SHARE
Ad
Gambar: Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin. 

KUALA LUMPUR: Pihak kedutaan terus memantau rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan dan tidak menyertai misi pulang ke negara ini susulan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus di China ketika ini, kata Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

Nushirwan berkata, 34 rakyat Malaysia yang tidak menyertai misi pulang itu, sebilangannya dikenaplasti kerana faktor logistik selain ada memilih untuk tidak pulang ke tanah air.

“Untuk yang tidak mahu pulang, itu pilihan mereka, kita terus memantau keadaan mereka di sana menerusi aplikasi media sosial we-chat dan setakat ini keadaan mereka adalah baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Katanya, sekretariat sementara yang ditubuhkan di Wuhan telah ditutup dan pasukan peninjau yang dihantar telah dipanggil semula ke kedutaan kerana tidak mahu mereka terdedah terlalu lama dengan keadaan di wilayah Hubei itu.

Dalam pada itu, pihak kedutaan masih menjalankan proses mengesan warganegara Malaysia yang berada di China dengan menggalakkan mereka mendaftar di pejabat konsulat Malaysia di negara itu.

Nushirwan berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan bagi mencari mekanisme berkesan untuk terus memantau rakyat Malaysia terutama di wilayah teruk terjejas dengan wabak itu.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa syukur dengan kejayaan misi membawa pulang 133 warga Malaysia dari Wuhan yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

“Proses itu tersebut berjalan lancar dengan kerjasama baik di antara kedua-dua kerajaan. Perbualan telefon di antara menteri luar negeri (Datuk Saifuddin Abdullah) dengan rakan sejawat dari China pada hari Sabtu telah banyak membantu menjayakan usaha ini,” katanya.

Pesawat khas yang digunakan dalam misi membawa pulang 133 rakyat Malaysia dari Wuhan itu mendarat di KLIA pukul 5.57 pagi ini.

Pesawat AirAsia, yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan kerajaan Malaysia, membawa pulang 107 individu yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Turut serta dalam penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan adalah enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, lapan petugas misi dan 12 kru penerbangan.

Dalam satu kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, dua orang tidak melepasi tapisan kesihatan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media hari ini mengesahkan kes pertama warganegara Malaysia positif dijangkiti Koronavirus melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun.

Dalam sidang media sama, Dr Dzulkefly juga mengesahkan satu lagi kes positif melibatkan lelaki warganegara China menjadikan kes positif virus itu di negara ini berjumlah 10 kes setakat ini.

— BERNAMA