Home English News Harga durian musim normal baharu “mahal teruk”?

Harga durian musim normal baharu “mahal teruk”?

731
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR– Musim durian datang lagi, namun bagi “hantu durian” perbezaan situasi musim kali ini pasti agak dirasai berbanding tahun-tahun sudah.

Hilang sudah kemeriahan berkumpul di dusun mahupun makan beramai-ramai di gerai durian lantaran perlunya mematuhi normal baharu yang mengutamakan jarakan sosial termasuk hanya boleh beli tapau untuk dinikmati di rumah.

Bagi kebanyakan penggemar durian, mereka tidak mempunyai masalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu itu, namun yang menjadi pertikaian dan dikongsikan di alam siber ialah harga raja buah tersebut yang pada mereka “mahal teruk” (terlampau mahal) berbanding kebiasaan.

#TamilSchoolmychoice

Pengguna Twitter @fiqkgetah atau nama sebenar Muhammad Afiq Nor Hassim, 33, berkata rata-rata penjual durian memberi alasan kenaikan harga disebabkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini termasuklah permintaan tinggi namun bekalan terhad disebabkan pergerakan yang terbatas, menyebabkan sesetengah peniaga terpaksa mengambil buah daripada orang tengah, katanya.

“Hendak dapatkan stok durian masih OK lagi,  tetapi bab harga … mahal teruk, harga tidak masuk akal.

“Paling ketara ialah durian kampung,” katanya kepada Bernama.

Luahan sama turut dikongsi oleh pengguna Twitter  @pjoe: “harga durian tahun ini kenapa macam berbeza, lagi mahal dan beza banyak pula berbanding tahun lepas.”

Katanya ada peniaga yang menjual durian kampung sehingga RM18 sekilogram.

@AzmiraAzmi pula berkata ketika dia mempertikaikan kenaikan harga tersebut, peniaga durian berkenaan menjawab: “harga yang murah itu harga bertahun yang lepas.”

Dalam pada itu, masih ada yang bersikap positif seperti @thezulfo yang berkata harga durian mencanak naik ekoran permintaan tinggi, lebih-lebih lagi musim baru sahaja bermula.

“Tunggulah lama sikit, nanti mesti turun harga kerana bekalan pun sudah banyak,” katanya.

— BERNAMA