Home English News PRK Chini : 74 peratus keluar mengundi lepasi sasaran SPR

PRK Chini : 74 peratus keluar mengundi lepasi sasaran SPR

629
0
SHARE
Ad

PEKAN — Jumlah keseluruhan pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini mencapai 74 peratus, melebihi  kadar 70 peratus disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Shahrom berkata SPR amat gembira dengan jumlah peratusan itu kerana walaupun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bilangan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka masih tinggi.

“Walaupun dalam keadaan PKPP dan orang ramai risau tentang COVID-19, masih ramai yang keluar mengundi.

#TamilSchoolmychoice

“Ini kali pertama SPR mengadakan pilihan raya dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas COVID-19 dan kita amat berpuas hati dengan apa yang dikendalikan oleh pegawai SPR serta pengundi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat penjumlahan undi rasmi di Institut Kemahiran Belia Negara di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan agak sukar untuk memastikan penjarakan sosial terutama di luar kawasan pusat pengundian kerana melibatkan jumlah yang ramai.

Katanya pengalaman mengendalikan PRK semasa PKPP ini akan dijadikan sebagai asas untuk SOP pilihan raya akan datang dan akan ditambah baik dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 wanita.

— BERNAMA