Home English News “Perlindungan Keselamatan Sosial diperluaskan kepada pekhidmat Rumah Tangga” – Saravanan

“Perlindungan Keselamatan Sosial diperluaskan kepada pekhidmat Rumah Tangga” – Saravanan

961
0
SHARE
Ad

KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI M.SARAVANAN, MENTERI SUMBER MANUSIA

  1. Kerajaan akan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kepada pekhidmat rumah tangga di seluruh negara. Perluasan ini dijangka dilaksanakan pada 1 Jun 2021.
  1. Dengan perluasan Akta ini, pekhidmat rumah tangga berstatus warganegara dan pemastautin tetap yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4, serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800. Manakala bagi pekhidmat rumah tangga warga asing, mereka akan dilindungi oleh Skim Bencana Kerja di bawah Akta 4.
  1. Kadar bayaran caruman oleh majikan dan pekerja akan mengikut kadar caruman semasa yang terpakai di bawah Akta 4 dan Akta 800.
  1. Seramai 104,400 pekhidmat rumah tangga, yang merangkumi 15,000 orang yang berstatus warganegara Malaysia dan pemastautin tetap serta 89,400 pekerja warga asing dijangka mendapat manfaat daripada perluasan perlindungan di bawah kedua-dua akta ini.
  1. Perluasan ini membolehkan pekhidmat rumah tangga yang selama ini terkecuali daripada Akta 4 dan Akta 800, mendapat perlindungan keselamatan sosial sama seperti golongan pekerja yang lain.
  1. PERKESO akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi menjelaskan langkah ini sebelum ianya dilaksanakan.
  1. Dalam pada itu, jumlah pembayaran faedah PERKESO turut menunjukkan trend yang meningkat setiap tahun, seiring dengan perluasan jaringan keselamatan sosial dan penambahbaikan faedah.
  1. Tahun lalu, PERKESO telah membayar faedah berjumlah 25 billion, berbanding RM4.2 bilion pada tahun 2019 dan RM3.8 bilion pada 2018. Jumlah ini adalah peningkatan daripada RM3.6 bilion pada tahun 2017 dan RM3.3 bilion pada tahun 2016.
  1. Saya harap orang ramai khususnya golongan pekerja sedar akan kepentingan mencarum dengan PERKESO. Walaupun jumlah caruman yang dibuat setiap bulan tidaklah sebesar mana, namun caruman inilah yang akan membantu mereka sekiranya ditimpa musibah termasuk kehilangan pekerjaan.
  1. Sempena Majlis Iftar PERKESO 2021, saya akan menyampaikan bayaran faedah PERKESO yang berjumlah kira-kira RM600,000 kepada 13 penerima faedah. Sebagai meraikan waris kepada Orang Berinsurans PERKESO, 19 orang balu dan 19 orang anak yatim dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor juga akan menerima duit raya dan hamper.
  1. Adalah diharapkan bayaran faedah dan sumbangan ini dapat menggembirakan mereka dan membantu meringankan beban perbelanjaan mereka dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
  1. Saya gembira program menyantuni penerima faedah PERKESO dan orang tanggungan dalam Majlis Iftar PERKESO dapat diadakan pada tahun ini setelah negara dilanda pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu. Ia juga amat bermakna kerana PERKESO menyambut Jubli Emas pada tahun ini.