Home English News Isu periksa Haid Pelajar wanita – Bantahan dari MIC

Isu periksa Haid Pelajar wanita – Bantahan dari MIC

1250
0
SHARE
Ad

KENYATAAN MEDIA PUAN S.J. USHA NANDHINI, KETUA WANITA MIC KEBANGSAAN BERHUBUNG ISU PERIKSA HAID PELAJAR WANITA

Wanita MIC membantah sekeras-kerasnya tindakan pemeriksaan terhadap pelajar perempuan di beberapa sekolah, di mana mereka diarahkan untuk membuktikan secara fizikal bahawa mereka mengalami haid.

Tindakan sedemikian ini yang dilakukan dengan alasan disiplin bukan sahaja mengganggu privasi pelajar wanita malah ia juga merupakan sebahagian gangguan seksual yang terus berlaku di sekolah atas nama pemeriksaan haid. Manakala tindakan meminta menunjukkan tuala wanita berdarah sebagai bukti haid itu boleh dikategorikan sebagai gejala membuli, mengaibkan serta gangguan emosi.

Ini jelas merupakan satu jenayah yang harus dipandang serius oleh kesemua segenap segmen komuniti. Tindakan seperti ini harus diberhentikan dengan membawa pesalah tidak kira sesiapa pun guru, pengawas atau warden ke muka pengadilan kerana ini jelas dianggap kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan perbuatan mengganggu kesantunan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

#TamilSchoolmychoice

Pemeriksaan haid di sekolah tidak patut berlaku kerana ia menjatuhkan maruah seseorang pelajar perempuan malah sekolah sebagai gedung pendidikan haruslah menekankan budaya dan amalan murni, pemerkasaan modal insan serta memartabatkan nilai integriti dalam diri pelajar.

Wanita MIC menyokong penuh tindakan YB Azizah Mohd Dun, Pengerusi MARA yang mengatakan bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan anggota kerja MARA. Perkara yang sama harus dilakukan di semua sekolah dan saya menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) & Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua pesalah serta memastikan sekolah sebuah tempat yang selamat bagi semua pelajar.

Sekali lagi, saya menegaskan agar kerajaan terutamanya KPWKM menyegerakan perbentangan RUU Gangguan Seksual. RUU ini jelas akan memberikan perlindungan dan memberikan tebus rugi kepada semua pemandiri gangguan seksual. Saya mencadangkan agar KPM dengan kerjasama KPWKM mewujudkan satu talian khas bagi pelajar melaporkan insiden gangguan seksual yang dialami di sekolah. Semoga kerajaan mencari jalan penyelesaikan dan titik noktah bagi tindakan pemeriksaan haid yang merupakan sebahagian gangguan seksual yang kerap berlaku di sekolah.

Sekian.

Puan S J Usha Nandhini,
Ketua Wanita MIC Kebangsaan,
Mantan Ahli Dewan Negara
25 April 2021