Home English News “Pastikan nasib penumpang tragedi LRT terpelihara” – Naib Presiden MIC saran Prasarana

“Pastikan nasib penumpang tragedi LRT terpelihara” – Naib Presiden MIC saran Prasarana

548
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR : Naib Presiden MIC, Dato’ T. Murugiah hari ini menyaran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) agar memastikan nasib dan keperluan kesemua penumpang yang terlibat di dalam tragedi kemalangan LRT malam tadi terpelihara.

“Tragedi kemalangan tersebut adalah sesuatu yang amat mengejutkan, bagai mencurahkan minyak dalam api yang membara tatkala kita menghadapi penularan wabak Covid-19 yang makin serius di Malaysia. Tragedi ini sesungguhnya satu detik hitam bagi Malaysia, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, mampu dielakkan.”

“Saya difahamkan daripada 64 orang penumpang yang dimasukkan di hospital, enam penumpang dilaporkan kritikal dengan tiga penumpang dimasukkan ke ICU dan memerlukan bantuan pernafasan. Kita mendoakan keselamatan mereka,” kata Murugiah di dalam kenyataa media beliau.

#TamilSchoolmychoice

Dalam insiden malam tadi, dilaporkan seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren LRT bertembung dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC. Siasatan awal mendapati, tren tersebut bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual tanpa diselaras dengan pusat kawalan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Prasarana Dato’ Seri Tajuddin Rahman yang telah mengumumkan bahawa kesemua 213 penumpang yang terbabit akan diberi bantuan khas sebanyak RM1,000 seorang, manakala 64 penumpang yang dimasukkan ke hospital akan mendapat sokongan perubatan dalam bentuk kewangan, termasuk bayaran bil hospital sehingga selesai rawatan.”

“Dengan keadaan kritikal di hospital kerajaan dengan bilangan pesakit Covid-19 yang makin meningkat, saya memohon Prasarana agar mengkaji keperluan memindahkan penumpang terbabit ke hospital swasta dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana. Pada masa yang sama, kesemua penumpang yang lain perlu diberi pilihan saringan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya. Sesi kaunseling perlu turut disediakan bagi menangani trauma dan tekanan yang dihadapi oleh mereka.”

“Prasarana juga perlu tampil memperjelaskan jika penumpang di bawah jaringan khidmat pengangkutan mereka dilindungi oleh skim insurans. Apakah terma dan pampasan yang ditawarkan kepada mereka? Pastikan ianya diproses dan disalurkan kepada penumpang terbabit pada kadar segera,” ujar Murugiah.

Murugiah turut mengalu-alukan tindakan Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden tersebut.

“Tragedi sedemikian tidak harus berulang sama sekali di Malaysia. Jika ianya berpunca akibat kealpaan mana-mana pihak, tindakan tegas harus diambil. Saya mohon Kementerian Pengangkutan agar meneliti, mengkaji dan memperbaiki sistem pemantauan dan keselamatan jaringan pengangkutan negara,” tambah Murugiah lagi.