Home English News Saravanan menjalankan operasi pematuhan Akta 446 & SOP PKP 3.0

Saravanan menjalankan operasi pematuhan Akta 446 & SOP PKP 3.0

771
0
SHARE
Ad

KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA BERKENAAN
OPERASI PEMATUHAN AKTA 446 DAN SOP PKP 3.0 FASA 1

1. Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa memastikan Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan SOP PKP 3.0 Fasa 1 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] dilakukan secara berterusan dan mapan. Operasi yang berterusan dilihat amat perlu sebagai langkah untuk mendidik para pemain industri dan juga masyarakat umum akan kepentingan patuh kepada akta yang sedang dikuatkuasakan.

2. Ini dibuktikan dengan pelaksanaan Operasi Pematuhan Akta 446 dan SOP PKP 3.0 Fasa 1 yang disertai oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, YBhg. Dato’ Jamil bin Rakon, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan di Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini. Turut serta dalam operasi ini ialah pegawai-pegawai daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan juga anggota PDRM Negeri Sembilan.

3. Premis yang diperiksa pada hari ini merupakan sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengeluaran produk kotak termasuk ‘carton boxes’ dan ‘corrugated boxes’ dan telah beroperasi semenjak 1996. Kilang ini menggajikan seramai 264 orang pekerja dengan pecahan seramai 95 orang pekerja tempatan dan 169 orang pekerja asing. Majikan menyediakan penginapan berbentuk kontena dua (2) tingkat yang didirikan di dalam premis kilang kepada para pekerja mereka. Majikan ini didapati masih belum membuat sebarang permohonan bagi mendapatkan Perakuan Penginapan daripada JTKSM.

#TamilSchoolmychoice

4. Hasil pemeriksaan pada hari ini mendapati selain melakukan kesalahan di bawah Akta 446, Seksyen 24D iaitu tiada Perakuan Penginapan, majikan juga melakukan kesalahan di bawah Akta 446, Seksyen 24H iaitu tiada Kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain itu, majikan juga dikesan gagal memastikan para pekerja mereka mengimbas QR kod MySejahtera dan menyebabkan majikan melakukan kesalahan di bawah Akta 342 yang mana membawa kepada kompaun berjumlah RM10,000. Kompaun tersebut telah dikeluarkan oleh pihak MITI. Semua kesalahan yang direkodkan akan diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan iaitu di bawah Akta 446 dan Akta 342.

5. KSM menyeru agar semua pihak berganding bahu bersama Kerajaan dalam memastikan usaha mengekang dan memutuskan penularan pandemik COVID- 19 berjaya dilakukan.

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA PUTRAJAYA
4 JUN 2021