Home English News SMK Datuk Mahmud Paduka Raja 1 catat STPM terbaik Malaysia

SMK Datuk Mahmud Paduka Raja 1 catat STPM terbaik Malaysia

354
0
SHARE

KOTA BHARU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Paduka Raja 1, Tanah Merah mencatat sejarahnya tersendiri apabila dinobatkan sebagai sekolah terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat nasional bagi tahun 2018.

Pengetuanya, Kamaruzaman Zakaria berkata penghargaan itu diterima selepas enam pelajarnya mendapat Purata nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 termasuk dua pelajarnya tersenarai sebagai pelajar terbaik seluruh negara.

Dua pelajar itu, Dhivya Janani Mariapan dan Wee Chin Seng, yang mendapat semua A dalam lima mata pelajaran, menerima penghargaan daripada Majlis Peperiksaan Malaysia di ibu negara hari ini.

“Dhivya Janani, anak seorang penoreh getah dan Wee Chin Seng anak pemandu lori telah dianugerahkan pelajar cemerlang STPM 2018 dengan masing-masing mendapat RM1,000 seorang.

“Kejayaan ini mencerminkan permuafakatan, saling memahami dan kerjasama yang erat dalam kalangan warga sekolah di samping komitmen ikhlas guru dan kesungguhan pelajar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Keseluruhan keputusan STPM 2018 bagi 59 buah sekolah di Kelantan mencatatkan peningkatan dengan pencapaian PNGK calon sekolah bantuan kerajaan 2.98 berbanding pencapaian peringkat nasional, 2.80.

Calon STPM Kelantan yang mendapat kelulusan 4 dan 5 prinsipal tahun 2018 juga meningkat kepada 83.14 peratus atau 2,856 calon berbanding pencapaian peringkat nasional 74.33 peratus atau 31,848 calon.

Sementara itu, pelajar SMK Zainab 1, Fatmaruhani Ibrahim berkata kegagalan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorong beliau menggandakan usaha untuk mencatat kecemerlangan dalam STPM.

“Saya menjadikan kegagalan lepas dan kemiskinan keluarga sebagai dorongan untuk terus fokus kepada pelajaran kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’. Syukur berkat usaha, pertolongan guru dan ibu bapa saya berjaya mendapat 5A,” katanya.

Fatmaruhani berkata beliau tidak pernah merasa rendah diri walaupun berasal dari keluarga yang agak miskin kerana keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ayahnya yang bekerja sebagai tukang gunting.

— BERNAMA

Comments