Home English News Hospital Melaka kekurangan darah kumpulan ‘A’

Hospital Melaka kekurangan darah kumpulan ‘A’

234
0
SHARE

MELAKA: Pusat Darah Hospital Melaka memerlukan sumbangan orang ramai apabila kini mengalami penyusutan bekalan darah jenis A.

Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka, Low Chee Leong (he) berkata bekalan darah kumpulan A semakin  menurun, namun ianya  tidak mencapai tahap kritikal.

“Kita khuatiri jika penyusutan ini terus berlaku ianya akan menjejaskan bekalan darah jenis tersebut, jesteru itu kita berharap orang ramai yang mempunyai darah jenis A sedia menderma darah mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Low berkata bekalan darah diperlukan bagi menampung permintaan yang meningkat bagi kegunaan pesakit-pesakit kronik yang memerlukan pemindahan darah berulang dan pesakit mengandung yang memerlukan darah untuk pembedahan.

“Buat masa ini bekalan masih mencukupi untuk kegunaan semasa dan kecemasan, Namun penderma perlu tampil menderma bagi mengelakkan bekalan terus berkurangan dan menjadi kritikal,” katanya.

Beliau berkata secara purata Hospital Melaka memerlukan hampir 600 hingga 700 beg darah pelbagai jenis setiap minggu.

Sementara itu Ketua Unit Tabung Darah hospital itu Dr Noramiza Mat Amin berkata bekalan darah daripada kumpulan berkenaan kini berada pada tahap sederhana.

“Setakat ini, bekalan darah A masih mencukupi, namun kita memerlukan bekalan yang berterusan agar tidak menurun ke tahap kritikal.

“Justeru, kita berharap agar golongan yang  memenuhi kriteria ditetapkan agar tampil menderma yang mana sumbangan anda mampu untuk membantu menyelamatkan nyawa insan lain sekaligus menampung keperluan tersebut,” katanya kepada Bernama di sini.

Dr Noramiza berkata sekiranya darah diderma secara konsisten sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali, ia dapat memastikan pesakit yang memerlukan mendapat pemindahan darah yang mencukupi pada masa yang diperlukan.

–BERNAMA

Comments