Home English News Polis tangani kumpulan pengganas ikut SOP- KPN

Polis tangani kumpulan pengganas ikut SOP- KPN

77
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menegaskan sebarang bentuk ancaman  melibatkan kumpulan pengganas ditangani mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya siasatan sentiasa dilakukan secara profesional  berdasarkan laporan dan bukti yang diterima polis.

“Kami tidak boleh tergesa-gesa siasat, kena laporan dan bukti baru boleh ambil tindakan, tidak kira sama ada pemimpin politik atau bukan.

“Siasatan yang dijalankan polis adalah adil, saya beri jaminan kepada mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan adalah bagi menghentikan kegiatan itu dari terus ke peringkat yang berbahaya seperti pengebom berani mati. Kami cuba hentikan dan ambil tindakan untuk memulihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2019 di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata tindakan penangkapan tidak akan dibuat sesuka hati dan ia tidak mempunyai kaitan dengan isu politik, kaum dan agama.

Beliau berkata individu yang ditahan akan diberi hak mengikut peruntukan undang-undang dan segala tuduhan mengatakan PDRM menafikan hak adalah tidak benar.

“Saya mohon pemimpin politik bertenang. Isu keselamatan adalah tanggungjawab PDRM… saya akan berlaku adil mengikut SOP jika didapati tidak bersalah, kami akan rujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan selanjutnya.

“Sebagai contoh, kamu tidak mahu insiden seperti serangan terhadap Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Jen Wiranto berlaku di sini (Malaysia). Segala bentuk keganasan akan kita tangani,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menjejaskan keamanan negara termasuk kumpulan Jemaah Islamiah (JI), al-Qaeda dan Daesh.

Pada 10 Okt lepas, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan adalah antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Penahanan kesemua mereka dibuat dalam operasi polis Bukit Aman di Melaka, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

—  BERNAMA

Comments