Home English News Perlu ada peraturan berbasikal di jalan raya

Perlu ada peraturan berbasikal di jalan raya

103
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Memandangkan aktiviti berbasikal di jalan raya turut mengundang risiko kemalangan, Malaysia boleh mencontohi beberapa negara  dalam  memperkenalkan undang-undang khusus penggunaan basikal.

Pakar Keselamatan Jalan Raya Prof Dr Law Teik Hua berkata undang-undang khusus itu antara penyelesaian terbaik bagi menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk mereka yang berbasikal.

Apatah lagi, Malaysia memang tidak mempunyai sebarang undang-undang atau peraturan tentang kesalahan penggunaan basikal di jalan raya.

Bagaimanapun, Law berkata undang-undang itu tidak harus ditumpukan kepada ketidakpatuhan beberapa kumpulan remaja ‘mat lajak’ yang berbasikal secara cuai atau berbahaya malah perlu mengambil kira kesemua pengguna basikal di negara ini.

Bagi Law, walaupun penunggang basikal mematuhi tatacara keselamatan yang ditetapkan, mereka masih terdedah kepada risiko sebaik sahaja berada di jalan raya sekiranya tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Aktiviti penunggang basikal lajak serta mereka yang beriadah dengan basikal di jalan raya menjadi perhatian selepas beberapa kemalangan maut melibatkan golongan itu.

Pada Februari 2017, lapan remaja berbasikal maut di Johor Bahru selepas dirempuh kereta. Kurang setahun kemudian di Pontian, Johor dua lagi remaja berbasikal lajak maut di rempuh kereta dan banyak lagi kematian dilaporkan sehingga kini.

Sehubungan itu, banyak pihak berpendapat perlu ada undang-undang tegas menghalang orang ramai berbasikal di jalan raya sibuk kerana ia mengundang bahaya dan polis juga telah mula mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang basikal lajak di jalan raya.

Basikal lajak merupakan basikal yang telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi keselamatan asas untuk digunakan khususnya di atas jalan raya kerana basikal yang dipanggil ‘basikal nyamuk’ itu juga tidak mempunyai ciri asas sesebuah basikal standard seperti brek, lampu, dan dengan tempat duduk dan pemegang yang lebih rendah daripada biasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata di Malaysia, belum ada undang-undang khas untuk basikal seperti yang dilaksanakan negara luar antaranya United Kingdom (UK), Kanada dan Singapura.

Jelas Wong, undang-undang basikal di negara lain menfokuskan kepada beberapa perkara antaranya lorong khusus untuk kegunaan basikal, penggunaan topi keledar, spefikasi khusus dan kelayakan sesebuah basikal itu berada di atas jalan raya selain  turut menitikberatkan kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Ketika dihubungi Bernama, Wong berkata Malaysia mungkin boleh mencontohi undang-undang berkenaan dan  melaksanakannya mengikut acuan tempatan dengan merangka atau meminda undang-undang berkaitan.

Memetik laporan akhbar atas talian Bristol Post, United Kingdom (UK) yang disiarkan pada 20 Nov 2018, UK mempunyai undang-undang basikal tersendiri dengan penunggang basikal yang membawanya secara cuai boleh dikenakan denda maksimum sehingga 1,000 pound British (RM5,300).

Di Kanada, mereka yang gagal mematuhi arahan memasang lampu, pemantul dan pita pemantul cahaya akan dikenakan denda maksimum $20 (RM62), menurut portal Kementerian Pengangkutan Kanada.

Dalam pada itu, Wong berkata jika sesuatu pindaan atau penggubalan akta dilaksanakan, ia juga akan mengambil masa yang lama kerana harus melalui pelbagai proses sebelum dilulus serta dikuatkuasakan.

Namun begitu, ulas Wong penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat dan berterusan haruslah dilaksanakan segera oleh pihak polis dan kerajaan tempatan sementara menunggu proses penggubalan undang-undang dilaksanakan.

“Kedai basikal dan bengkel yang terbabit dalam aktiviti pengubahsuaian basikal juga patut diberi amaran tegas oleh kerajaan tempatan dan polis agar tidak menerima sebarang pengubahsuaian basikal yang tidak dibenarkan. Basikal yang diubah suai boleh dirampas sekiranya didapati ada di premis terbabit,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Jasin Bikers Hairool Hisham Roslan menyambut baik cadangan diwujudkan undang-undang untuk mengawal selia aktiviti berbasikal di jalan raya.

Ini kerana ia sudah pasti akan menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya khususnya pengayuh basikal dan pada masa sama sebagai satu tindakan tegas kerajaan mengatasi isu basikal lajak.

Bagi beliau, tidak wujud sebarang tekanan sekiranya penguatkuasaan dijalankan sejurus pewartaan undang-undang itu kerana mana-mana kelab basikal yang didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia khususnya sangat mengutamakan keselamatan untuk aktiviti basikal di jalan raya.

“Kalau kita buat kayuhan, dan jika ada basikal ahli yang tidak cukup ciri keselamatan macam brek tak elok, tidak ada helmet, kita tidak akan benarkan mereka ikut. Keselamatan diutamakan. Itu penting,” jelasnya.

Hairool berkata pelaksanaan undang-undang itu, baginya bukan untuk mematikan minat golongan remaja yang menjadikan aktiviti berbasikal sebagai hobi tetapi ia harus dilaksanakan dalam kaedah dan medium yang betul supaya keselamatan semua pihak di jalan raya terjamin.

— BERNAMA

Comments