LIPIS – Tidak sampai 24 jam lagi teka teki siapa calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan terjawab apabila pengumuman berhubung perkara itu dijadual akan dilakukan di ibu negara esok.
Sebelum ini timbul cakap-cakap politik yang menyatakan Timbalan Presiden UMNO yang menyandang jawatan sebagai presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal bertanding di kawasan itu memandangkan beliau kini ‘kosong’ dan tidak mempunyai kawasan selepas Mahkamah Tinggi Seremban membatalkan kemenangan Mohamad di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Bagaimanapun ada desas-desus terbaharu mengatakan BN bakal meletakkan calon dari masyarakat Orang Asli pada PRK itu dalam usaha menarik undi Orang Asli dan orang Melayu yang merupakan lebih 50 peratus daripada jumlah 32,048 pengundi di kawasan berkenaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (gambar) yang ditemui pemberita bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu dan hanya membayangkan calon yang dipilih ‘akan menggembirakan semua’.
“Kita akan pilih calon yang boleh menang. Sudah tentu pilih calon yang boleh mendekati rakyat dan ikut kehendak pengundi. Kita tunggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan bagi murid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Felda Sungai Koyan dekat sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan BN melalui UMNO dijangka membuat kejutan dengan meletakan calon anak tempatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli pada PRK Cameron Highlands tidak lama lagi.
— BERNAMA