Home English News Papagomo direman 3 hari bantu siasatan kes Syed Saddiq

Papagomo direman 3 hari bantu siasatan kes Syed Saddiq

942
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, direman tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Kajang, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah berkata pemohonan reman terhadap Papagomo, dibuat di Mahkamah Majistret Kajang pagi ini.

“Selain Papagomo, terdapat seorang lagi individu berusia 39 tahun ditahan namun dibebaskan setelah diambil keterangan dengan jaminan polis.

#TamilSchoolmychoice

“Dia (Papagomo) kini disiasat di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Papagomo, 36, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi Sabtu itu, anggota Parlimen Muar berkenaan mendakwa bahawa beliau diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini.

Video insiden provokasi berdurasi 22 saat itu turut tular dalam media sosial yang menunjukkan Syed Saddiq yang dikawal ketat polis dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang insiden  berkenaan  diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu ASP Radzee B Jamudi di talian 019-6655811.

Dalam perkembangan lain, 13 laporan polis dibuat sejak hari penamaan calon hingga hari ini berhubung PRK berkenaan.

Daripada 13 laporan itu, tiga kertas siasatan dibuka dengan dua daripadanya membabitkan insiden serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan, manakala satu lagi laporan berkaitan aktiviti ceramah tanpa permit di tapak pasar malam di Taman Pelangi, Semenyih, semalam.

“Polis juga meluluskan 10 permit bagi aktiviti ceramah dan calon bertanding diminta memohon permit bagi mengadakan ceramah atau aktiviti politik sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya.

-BERNAMA