Home English News 4 fungsi utama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

4 fungsi utama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

3754
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR:  Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ditubuhkan di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Akta 679) sebagai badan jaminan kualiti kebangsaan dengan melaksanakan empat fungsi utama.

Fungsi berkenaan adalah melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan serta mengakredit program dan kelayakan pendidikan tinggi berdasarkan kriteria dan standard yang ditetapkan.

Selain itu, ia melibatkan fungsi bagi membangunkan kod amalan jaminan kualiti pengajian tinggi dan standard program berdasarkan amalan bijak antarabangsa serta menyenggarakan Daftar Kelayakan Malaysia bagi program-program yang mendapat perakuan akreditasi.

#TamilSchoolmychoice

PERAKUAN AKREDITASI

Proses penilaian jaminan kualiti program dibahagi kepada dua peringkat iaitu Akreditasi Sementara dan Akreditasi Penuh.

Akreditasi Sementara adalah proses sebelum program bermula di mana pihak MQA membuat pengesahan bahawa kurikulum program yang dibangunkan dan perancangan penawaran program yang hendak dilaksanakan adalah menepati keperluan standard jaminan kualiti.

Peringkat ini berkaitan dengan usaha mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan untuk pengendalian program tersebut.

Akreditasi Penuh pula melibatkan proses penilaian yang memfokus kepada pelaksanaan program serta penilaian pelajar dalam mencapai kompetensi yang ditetapkan dalam satu program pengajian.

Pihak institusi hendaklah memastikan program yang dijalankan mencapai dan memenuhi  kriteria dan standard yang ditetapkan sebelum satu Perakuan Akreditasi dapat dianugerahkan kepada program berkaitan.

Program-program yang diberi Perakuan Akreditasi mendapat manfaat dari segi pengiktirafan badan jaminan kualiti atau kementerian luar negara yang yakin dengan kualiti program ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

Dalam pada itu, ia tertakluk kepada pilihan dan keutamaan pihak luar negara mengikut kesesuaian tujuan dan keperluan mereka. Sebagai contoh, pihak berkuasa luar negara lebih cenderung menghantar pelajar tajaan kepada institusi yang bertaraf universiti dan menawarkan pasca ijazah.

Perakuan Akreditasi yang dikeluarkan MQA hanya tertakluk kepada institusi dalam negara yang didaftarkan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Pendidikan (Akta 550) serta institusi latihan awam lain di bawah pelbagai kementerian.

Pada kelazimannya, IPT luar negara telah melalui proses jaminan kualiti atau akreditasi oleh pihak berkuasa di negara mereka namun, jika ada IPT luar negara yang berminat untuk mendapatkan status Akreditasi MQA, permohonan boleh dikemukakan kepada MQA untuk proses penilaian selanjutnya.

Setiap IPT akan melalui proses penilaian yang sama dan Perakuan Akreditasi bukanlah diperoleh secara automatik sebaliknya, perlu melalui proses penilaian ditetapkan.

Oleh itu, setiap program yang diberikan Perakuan Akreditasi mesti mematuhi kriteria dan standard jaminan kualiti yang ditetapkan.

KERJASAMA MQA

Kerjasama MQA dengan agensi luar negara adalah pelbagai termasuk yang berbentuk perkongsian maklumat, pertukaran kepakaran, kerjasama latihan serta penandaarasan dua sistem seperti yang MQA lengkapkan dengan badan akreditasi dari New Zealand dan Jepun.

MQA juga aktif dalam badan jaringan antarabangsa termasuk di peringkat Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi membolehkan pelbagai pihak di luar negara mengetahui dan memahami pelaksanaan akreditasi di Malaysia, dan seterusnya memudah cara pergerakan graduan Malaysia merentasi sempadan.

Sebagai menyahut seruan Perdana Menteri dalam memberi penyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap, MQA mengatur langkah teguh dan yakin berbekalkan keupayaan yang dibina untuk menerokai segenap ruang dan peluang dalam mendepani cabaran baharu dunia pendidikan tinggi demi mempertingkat  reputasi MQA sebagai badan kelayakan dan jaminan kualiti unggul Malaysia.

Usaha itu perlu digembleng dengan kesepakatan utuh seluruh warga kerja MQA walau apa pun peranan dan tanggungjawab untuk menjadi pasukan yang ampuh demi mencapai keberhasilan prestasi tinggi.

Sebagai permulaan, MQA memperkukuh pelaksanaan peranan dan tanggungjawab berasaskan nilai yang kompetitif. Justeru itu, mulai 2019, MQA melangkah ke hadapan berlandaskan enam nilai teras yang baharu iaitu – Integrity,  Transparent,  Respectful,  Universal, Spirited dan Trustworthy.

Nilai teras itu akan memandu MQA untuk terus maju dalam mengejar kecemerlangan penyampaian perkhidmatan yang diyakini oleh semua pihak kerana ia dilaksanakan berasaskan tekad MQA iaitu:

  1. Integrity: Menghayati dan membudayakan nilai jujur, amanah dan ikhlas dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memelihara imej organisasi.
  2. Transparent: Melaksanakan peranan dan tanggungjawab jaminan kualiti dengan telus, adil dan saksama dalam memenuhi keperluan pihak berkepentingan.
  3. Respectful: Menjalin hubungan erat, saling menghormati dan menghargai antara semua pihak berkepentingan dalaman dan luaran dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
  4. Universal: Memperkasa sistem jaminan kualiti, kelayakan pendidikan tinggi dan pendidikan sepanjang hayat agar setanding dengan amalan baik antarabangsa dan diiktiraf di peringkat global.
  5. Spirited: Memupuk semangat berpasukan dan tekad utuh dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan berinovasi untuk mencapai visi, misi dan matlamat organisasi.
  6. Trustworthy: Mengamalkan prinsip dan etika kerja bagi mengekalkan keyakinan dan kebolehpercayaan pihak berkepentingan terhadap perkhidmatan agar reputasi dan kredibiliti organisasi terpelihara.

SEMAK PROGRAM

Sehubungan itu, pelajar, ibu bapa, bakal majikan atau orang awam boleh menyemak maklumat program di portal MQA, yang telah menyenaraikan program-program yang mendapat Perakuan Akreditasi mengikut institusi yang menawarkannya.

Sebelum mengikuti mana-mana program di IPT tempatan, para pelajar dinasihatkan supaya menyemak status program tersebut sama ada mendapat Perakuan Akreditasi Sementara atau Perakuan Akreditasi di portal MQA.

Ini amat penting bagi memastikan kelayakan atau ijazah yang diperoleh adalah diiktiraf dan seterusnya memudahkan laluan kerjaya masing-masing.

Perkara yang sama juga perlu dilakukan apabila seseorang ingin melanjutkan pengajian di luar negara. Adalah penting untuk memastikan status akreditasi atau pengesahan kualiti oleh pihak berkuasa negara terbabit bagi menjamin penerimaan kelayakan yang diperolehi apabila bergraduasi kelak.

Senarai program yang mendapat akreditasi boleh diperoleh dengan menyemak di portal Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh, keduanya senarai akreditasi sementara di www2.mqa.gov.my/pasp dan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf.

Bagi program luar negara, semakan boleh dibuat dengan pihak berkuasa negara terlibat.

Sebarang pertanyaan sila hubungi MQA di Sistem Pengurusan Pertanyaan dan Aduan MQA (www2.mqa.gov.my/sppav2).

MQA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar dan buatlah pilihan yang terbaik!

— BERNAMA