Home English News 22 warga China jadikan rumah sebagai pusat perjudian terbuka dipenjara, denda

22 warga China jadikan rumah sebagai pusat perjudian terbuka dipenjara, denda

1085
0
SHARE
Ad

MELAKA: Seramai 22 warga China dihukum penjara sebulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadikan sebuah rumah sebagai pusat perjudian terbuka, bulan lepas.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah menguruskan komputer riba dan telefon bimbit serta menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat perjudian terbuka.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh tangkap pada 19 Nov lepas dengan denda atau penjara dua bulan sekiranya tidak membayar denda.

#TamilSchoolmychoice

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Kota Bendahari, Klebang Besar di sini, antara 4 petang dan 4.10 petang, 19 Nov mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, 29 lagi tertuduh warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan  menjalankan kegiatan penipuan pemberi pinjaman wang secara dalam talian yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari China.

Daripada jumlah itu, 16 tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail, manakala 13 lagi di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama, pada 19 dan 20 Nov lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan untuk semua tertuduh dan mahkamah kemudian menetapkan 8 Jan tahun hadapan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Anis Najwa Nazari, Intan Lyiana Zainal Abidin, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan Lee Wai Yi manakala peguam Thomas Chin dan H.P. Ooi mewakili kesemua 51 tertuduh yang berumur antara 17 dan 46 tahun itu.

— BERNAMA