KUALA LUMPUR — Seramai 151 pelajar kurang berkemampuan mendapat manfaat daripada Program Back To School 2019 anjuran syarikat Malik Streams Corporation Sdn Bhd apabila menerima bantuan bernilai RM200 dalam bentuk barangan sekolah seperti baju seragam, beg dan kasut sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata syarikat itu menerima 500 permohonan dari seluruh negara bermula 1 Dis yang disiarkan melalui paparan iklan serta perkongsian info melalui media sosial.
“Kami memilih 151 pemohon dari Kuala Lumpur dan Selangor yang layak menerima bantuan pada kali ini,” katanya kepada pemberita selepas program serahan bantuan kelengkapan persekolahan program ‘Back To School 2019’ di Sarah Hughes @ Globe di sini, hari ini.
Abdul Malik (gambar) berkata syarikatnya merancang untuk mengadakan program sama di Pulau Pinang tidak lama lagi dan di seluruh Malaysia pada tahun depan.
“Inisiatif kami ini akan memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran dengan baik, mempertingkatkan prestasi akademik pelajar serta memberi dorongan dan sokongan moral kepada ibu bapa dan juga keluarga dalam membantu memperkasa tahap pendidikan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, bagi Siti Masrinah, 45, dan suaminya Hamid Osman, 58, yang meraih pendapatan RM1,700 sebulan menjalankan kerja-kerja kampung berkata pemberian sumbangan itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan membeli keperluan persekolahan anak-anak apatah lagi ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Memang banyak membantulah (program ini). Kalau tidak ada bantuan ini anak saya pakai apa saja yang ada, tapi bila ada bantuan ini sekurang-kurangnya adalah baju sekolah baharu untuk dia,” katanya dengan harapan program ini diteruskan lagi pada masa akan datang.
Bagi ibu tunggal S. Malati, 42, kematian suaminya setahun yang lalu menyebabkan dia terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi melengkapkan barang keperluan persekolahan tiga orang anaknya.
“Saya hanya mengambil upah membersihkan rumah dengan gaji RM60 (sebuah rumah)…kalau ada orang telefon (membersihkan rumah) baru ada duit…itupun seminggu hanya tiga kali sahaja (membersihkan rumah)… jadi saya sangat berterima kasihlah dengan Datuk Abdul Malik atas sumbangan yang cukup bermakna ini,” katanya dengan nada terharu.
Syarikat Malik Streams Corporation Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat hartanah, produksi perfileman, perniagaan import dan eksport, pengurup wang serta beberapa lagi perniagaan.
Pelbagai program dan aktiviti amal telah dilaksanakan syarikat ini melibatkan anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal hampir setiap tahun bagi mengurangkan beban golongan yang tidak berkemampuan.
— BERNAMA