KUALA PILAH — Lebih 2,000 golongan miskin di negeri ini telah mendapat manfaat daripada program Food Bank Malaysia (FBM) sepanjang Julai hingga November lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S.Veerapan (gambar) berkata sebanyak 855 siri program FBM dan 5,187 kg lebihan makanan berjaya diselamatkan dan diagihkan kepada penerima yang layak.
“Sepanjang program ini berlangsung, beberapa pasar raya terlibat seperti Tesco, Family Store, Zeemart, Aeon Co dan Econsave menjadikan jumlah semasa penyumbang di negeri ini sebanyak 13 buah termasuk cawangan.
“Pihak kami amat komited bagi memastikan program ini mencapai sasarannya dan menyeru lebih ramai sukarelawan serta penyumbang untuk menyertai program ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas di sini, hari ini.
Turut hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Ain Arjuna Azizaman dan Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri merangkap Timbalan Pengarah KPDNHEP negeri Zubir Hamsa.
Program FBM merupakan salah satu inisiatif KPDNHEP negeri dengan kerjasama pasar raya bagi mengurangkan pembaziran makanan dengan menyalurkan lebihan makanan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan.
Barangan yang disumbangkan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan roti yang telah mengalami sedikit penurunan kualiti tetapi masih boleh digunakan.
Sementara itu, Veerapan turut mengingatkan para peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan terkawal SKHMP dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka (peniaga) gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Antaranya peniaga wajib menjual barangan harga kawalan tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakan dengan harga barangan lain.
Pihak KPDNHEP akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.
“Sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang disebut tadi, orang awam boleh laporkan terus kepada pihak kami,” kata beliau.
Beliau berkata 11 barangan telah dikenal pasti di bawah SKHMP yang bermula selama lima hari bermula hari ini, yang antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing dan bebiri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, tomato dan lada benggala hijau.
— BERNAMA