Oleh Shakir Husain
NEW DELHI — Perdana Menteri Mauritius Pravind Jugnauth mengumumkan di bandar Varanasi, India bahawa negaranya akan menganjurkan “Bhojpuri Mahotsav” (pesta bahasa Bhojpuri) tahun depan.
Bhojpuri adalah bahasa yang dituturkan di beberapa bahagian Uttar Pradesh dan Bihar, dua buah negeri di India yang mempunyai penduduk paling ramai. Kebanyakan penduduk di negeri-negeri itu berbahasa Hindi.
Dari rantau ini ramai buruh India yang dikenali sebagai “girmitiyas”, di bawah oleh pihak Inggeris ke tempat-tempat seperti seperti Fiji, Mauritius, Afrika Selatan, Trinidad dan Tobago, Guyana dan Surinam untuk bekerja di ladang tebu.
Kini, anak cucu mereka mahu mengenali asal usul mereka serta menjalin hubungan agama, perniagaan dan kebudayaan menerusi inisiatif global kerajaan India.
Ribuan warga asing berketurunan India, termasuk sekitar 250 orang rakyat Malaysia dan 400 orang perwakilan dari Mauritius, di samping penduduk India bukan residen (NRI) berkumpul di bandar Varanasi, Uttar Pradesh selama tiga hari bermula 21 Jan lepas untuk perhimpunan diaspora dikenali sebagai “Pravasi Bharatiya Divas” (PBD).
Masyarakat diaspora India di seberang laut dianggarkan lebih daripada 31 juta, dan ramai yang berhijrah ke negara-negara Teluk, Amerika Utara dan Asia Tenggara.
Perdana Menteri Mauritius disertai isterinya, Kobita Jugnauth dan perwakilan peringkat tertinggi adalah tetamu utama pada PBD ke-15.
Dilancarkan pada 2003 sebagai acara tahunan, PBD is now held once in two years, traditionally on January 9 to mark the day Mahatma Gandhi returned to India from South Africa in 1915.
Neeta Dooken, wakil Afrika Selatan ke PBD berkata beliau seronok menyertai acara tersebut dan memuji diplomasi diaspora New Delhi.
“Yang hadir sekitar 7,000 orang dan saya perlu beramah mesra dengan 1,000 orang. Majlis itu disertai ramai orang kenamaan daripada pelbagai latar belakang. Apabila anda menghadiri acara seperti PBD, anda diiktiraf sebagai warga India global dan saya seronok dengan keadaan ini, “ beliau yang ditemui di New Delhi memberitahu Bernama.
Tarikh untuk PBD tahun ini ditukar untuk membolehkan peserta menyertai ziarah Kumbh Mela di bandar Prayagraj (sebelum ini dikenali sebagai Allahabad) serta menyertai sambutan Hari Republik pada 26 Jan.
Jugnauth turut melakukan acara mandi di muara Sungai Ganges, Yamuna, dan sungai mistik Saraswati di Prayagraj, bersembahyang di kuil Hanuman dan menjadi tetamu kehormat pada sambutan Hari Republik di bandar Mumbai, India.
Perdana Menteri Mauritius mempunyai jadual yang sibuk sewaktu lawatan 20-28 Jan. Beliau turut mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan kerajaan dan pemimpin perniagaan serta merasmikan anak syarikat milik penuh Bank Mauritius di Mumbai.
Beliau berucap dalam bahasa Varanasipada konvensyen PBD di hadapan Perdana Menteri India Narendra Modi, Menteri Luar Sushma Swaraj, Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath dan Ketua Menteri negeri Haryana Manohar Lal Khattar. Tema tahun ini ialah “Role of Indian Diaspora in Building New India”.
“Diaspora yang berpendidikan serta berdikari adalah harta yang amat bernilai untuk membawa perspektif baru, pelaburan serta kemampuan menghubungkan negara tempat tinggal mereka dengan India. Rangkaian maklumat, sumber pelaburan serta kemahiran adalah antara peranan yang boleh dimainkan oleh rangkaian diaspora, “ kata pemimpin Mauritius itu.
“Diaspora boleh membantu mengembangkan India dan India pula boleh mengembangkan negara di mana diaspora itu tinggal dengan membangunkan peluang untuk diaspora itu bekerjasama sesama sendiri, “ tambahnya.
Jugnauth (gambar) bercakap tentang pelbagai projek yang dapat membantu mengembangkan hubungan sejarah antara negaranya dan tanah kelahiran nenek moyangnya.
Menurut beliau Mauritius sedang membina hospital “AYUSH” (singkatan untuk ayurveda, yoga dan naturopathy, unani, Siddha dan homeopathy) berasaskan sistem tradisional yang diamalkan di India dan akan menganjurkan pesta bertaraf antarabangsa “Bhagavad Gita” (kitab suci penganut agama Hindu) bulan depan.
“Acara ini adalah inisiatif bersama kerajaan Haryana dan kerajaan Mauritius. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan hubungan kebudayaan dengan semua negara di mana Bhagavad Gita masih menjadi sebahagian penting daripada amalan sembahyang serta kebudayaan,” katanya.
Dalam soal mengekalkan kebudayaan, bahasa dianggap amat penting.
Pesta bahasa Bhojpuri adalah sebahagian daripada usaha tersebut.
“Meskipun nenek moyang kita melalui pengalaman yang teruk tetapi mereka berjaya mengekalkan bahasa Bhojpuri. Saya amat berharap pesta bahasa Bhojpuri akan dapat meningkatkan bahasa Bhojpuri dan menggalakkan pertukaran antara kebudayaan, “ kata Jugnauth.
Untuk menekankan pandangannya, beliau merujuk kepada Hindi Pracharini Sabha, sebuah persatuan di Mauritius yang terlibat dalam menggalakkan bahasa serta kebudayaan Hindi.
Motto Sabha ialah “Bhasha Gayi ke Sanskriti Gayi” (sekiranya bahasa lenyap, budaya juga turut lenyap).
— BERNAMA